Jawatankuasa Khas Ditubuh Pantau ZIPY

ALOR SETAR 28 April - Kerajaan negeri akan membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan projek berimpak tinggi Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY).

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, bagi tujuan itu pihak Merapoh Resources Corporation (Merapoh) dan Kedah Investment Centery akan dipanggil bagi membincangkan penubuhan jawatan kuasa itu.

"Kerajaan negeri akan memberi sokongan dan bantuan untuk menja­yakan projek ini dan kita akan pastikan segala urusan seperti kelulusan tanah akan diperoleh secepat mungkin.

"Kita akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk memastikan projek ZIPY ini akan berjaya dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah (BN-Bakar Bata) ketika sesi pertanyaan Mesyuarat Kali Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut Ku Abdul Rahman, kerajaan negeri yakin projek ZIPY itu akan berjalan seperti yang dirancang memandangkan satu perjanjian usahasama telah ditandatangani antara Merapoh dan China Energy Hua Cheng Industrial Investment Co. Ltd (China Energy) yang merupakan syarikat yang dimiliki oleh kerajaan China.

Katanya, syarikat berkenaan mempunyai kemampuan kewangan yang sangat diperlukan bagi menjayakan projek yang besar itu.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd. Azam Samat (Pas-Sungai Limau) beliau berkata, sebanyak 1,000 hektar tanah yang terlibat dengan pembangunan ZIPY diperoleh daripada tanah yang ditambak di Sungai Limau Yan, Jerai.

"Kerajaan negeri tidak mahu melaksanakan projek yang melibatkan pengambilan tanah penduduk kampung," jelasnya.

Tambah beliau, kajian kesan penilaian alam sekitar (EIA) akan dilakukan sebelum projek itu dilaksanakan.

"Selain EIA kita juga akan menjalankan kajian kesan penilaian sosial (SIA) bagi mengetahui apakah kesan projek berkenaan terhadap masyarakat.

"Kita akan laksanakan penilaian ini dalam masa terdekat dan insya-Allah boleh dapat kelulusan," katanya.

Tambah beliau, projek tersebut setelah siap kelak dijangka menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini selain merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Sumber:Utusan