Promosi Pelancongan Kedah Tengah Diperhebat

 19promosi

SUNGAI PETANI 19 April - Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang dilancarkan kerajaan menunjukkan hasil memberangsangkan apabila berjaya menarik ramai pelancong.

Kedah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan unsur seni budaya, alam sekitar indah dan destinasi unik, tentunya mempunyai aneka produk pelancongan menarik.

Menyedari hakikat itu serta potensinya untuk menjana ekonomi, Pertubuhan Pembangunan Pelancongan Dan Kesenian Kedah Tengah (PPPKKT) melaksanakan pelbagai usaha bagi menarik seberapa ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.

Pengerusinya, Vincent Tai berkata, sebelum ini pelancong yang berkunjung ke negeri Kedah lebih tertumpu di Langkawi walaupun ba­nyak kawasan lain di tanah besar menawarkan tempat menarik.

"Melihat senario pertambahan jumlah pelancong ke Kedah, kita dengan kerjasama pengusaha dan juga kerajaan memberi fokus kepada usaha mempromosi pelancongan di kawasan Kedah tengah.

"Antara kawasan tumpuan adalah Sungai Petani, Lembah Bujang, Gunung Jerai, Tanjung Dawai, Sungai Merbok, Sungai Batu dan Yan. Kawasan ini sememangnya mempunyai potensi sendiri kerana menggabungkan ke­indahan alam dan unsur warisan serta ketamadunan," katanya di sini semalam.

Vincent berkata, pihak­nya kini turut memperhebatkan usaha menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan di Kedah tengah me­lalui penganjuran pameran, seminar, forum dan hebahan media sosial.

"Kita berharap usaha ini sedikit-sebanyak dapat membantu memberikan fa­edah kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat," katanya.

Orang ramai yang berminat mengetahui kawasan pelancongan berpotensi atau menyalurkan maklumat boleh melayari laman web sosial Facebook/Discoverkedah.

Sumber: Utusan