MADA Terus Usaha Bantu Petani

Oleh SAFINA RAMLI
17madaOTHMAN Aziz (tengah) menyampaikan replika cek kepada Ahmad Saad bagi insentif NKEA bagi musim 1/2014 sempena sambutan Hari Jalinan Tani Nafas bersama PPK Mada C - IV Simpang Empat Kangkong di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin

ALOR SETAR 17 April - Proses tanaman semula padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada musim ini berjalan dengan lancar walaupun sebelum ini berlaku penyusutan paras bekalan air di tiga empangan utama di negeri ini akibat musim kemarau.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, ketika musim kemarau yang lalu, paras air di tiga empangan tersebut iaitu Empangan Muda, Ahning dan Pedu mengalami penyusutan sebanyak 65 peratus.

Namun katanya, hujan yang turun baru-baru ini membantu meningkatkan semula paras air di tiga empangan tersebut sehingga 80 peratus.

"Untuk fasa pertama penanaman padi pada musim ini, MADA telah menyalurkan air ke kawasan penanaman padi bermula pada 26 Mac lalu dan pesawah yang menerima air sedang sibuk membajak sawah mereka.

"Pihak MADA menetapkan 21 April ini sebagai tarikh akhir untuk menabur benih dan bekalan air yang disalurkan mencukupi untuk semua pesawah di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Jalinan Tani dan Hari Bertemu Pelanggan Wilayah IV Mada di sini hari ini.

Menurut Othman, para pesawah juga dinasihatkan agar mengikut jadual penanaman padi yang ditetapkan oleh MADA bagi memastikan sasaran 10 metrik tan padi bagi setiap tuaian tercapai.

"Untuk memastikan kita dapat capai sasaran yang ditetapkan memang banyak faktor yang menyumbang seperti benih bermutu tinggi.

"Tetapi para pesawah juga perlu memastikan saliran dan pengairan mengikut jadual yang telah ditetapkan, MADA selalu ikut jadual tetapi pesawah yang tidak mahu mengikut jadual yang diberikan.

"Ini menyebabkan banyak masalah pada masa depan seperti kesukaran untuk menabur baja dan mengawal serangga perosak," jelasnya.

Sementara itu, Othman berkata, pada Jumaat dan Sabtu ini, MADA akan mengadakan program 'Jom Turun Bendang' untuk memberi kesedaran kepada pesawah agar turun ke bendang sebagai persedian musim baharu tanaman padi telah bermula.

"Selain itu, MADA ingin menarik minat dan penyertaan generasi baru menyertai sektor tanaman padi dan menyampaikan matlamat MADA terus kepada golongan sasar," katanya.

Sumber: Utusan