Petani Digalak Sertai Ladang Kontrak

Oleh NORLIA RAMLI
20petaniAhmad Ishak (dua dari kanan) melawat ladang cili fertigasi di Ladang Kontrak Bagi Komoditi Cili Kulai di Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Paya Terendam, Sik, Kedah, semalam.

SIK 20 April - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan golongan petani menyertai program ladang kontrak yang turut menyediakan kemudahan memasarkan tanaman mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, program tersebut perlu disertai ke­rana ia mampu mengurangkan risiko peng­usaha terbabit terutama berkaitan usaha memasarkan produk-produk mereka di pasaran.

"Melalui program ini, pasaran jualan petani lebih terjamin di samping ia dapat mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran melalui pe­ran­cangan pengeluaran dan pemasaran bersistematik," katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerjanya di Pusat Pe­ngumpulan Ladang Kampung Paya Terendam, dekat sini hari ini.

Dalam majlis yang sama juga, Ahmad turut melawat ladang cili fertigasi yang dihasilkan melalui program ladang kontrak di Kampung Paya Terendam.

Selain itu kata beliau, program ladang kontrak ini juga boleh memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan mapan serta menepati kehendak pasaran melalui Amalan Pertanian Baik.

Beliau turut menggesa agar petani dan peladang mengeluarkan produk yang memenuhi permintaan dan bukannya produk yang mereka minat.

"Petani perlu merancang pengeluaran hasilnya dengan pembeli untuk mengurangkan risiko apabila berhadapan dengan masalah pasaran," kata Ahmad.

Ladang cili fertigasi itu diusahakan oleh empat sahabat yang berkelulusan ijazah dan sarjana dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masing-masing berusia 51 tahun iaitu Mohd. Sahil Zabidi, Syed Azri Syed Azizi, Mohamad Suharni Mohd. Sohod dan Abdul Mawazir Ridzwan.

Mohd. Sahil berkata, program ladang kontrak ini memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka sehingga melebihi RM3,000 sebulan berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini cili dan hasil tanaman lain seperti labu dijual sendiri kepada pemborong-pemborong dan di sekitar pasar tani yang berhampiran dan hasil pendapatannya juga berkurangan.

"Tetapi kini kami boleh menghasilkan produk dengan lebih terancang dengan memastikan pengeluarannya memenuhi permintaan dan lebih sistematik," kata Mohd. Sahil yang menghasilkan penanaman cili jenis Cili Kulai 568 seluas tiga hektar bersama rakan-rakannya.

Sumber:Utusan