Daging: Kedah Mohon AP Tambahan

Oleh SAFINA RAMLI
28dagingMUKHRIZ Tun Mahathir (kanan, sekali) mengambil tempat bersama Dr. Ku Abdul Rahman Ku  Ismail dan Suraya Yaakob sempena persidangan Dewan Undangan Negeri keempat Penggal Pertama Negeri Kedah di Wisma Darul Aman , Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 28 April - Kerajaan negeri Kedah akan memohon permit import (AP) tambahan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan bekalan daging lembu dan kambing mencukupi ketika Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, AP tambahan itu akan diberikan kepada Lembaga Pertu­buhan Peladang Kawasan (LPPK) ne­geri.

"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebenarnya telah bersiap sedia untuk mengeluarkan AP tambahan untuk memastikan bekalan lembu dan kambing mencukupi pada musim hari raya nanti.

"Kita sedang bincang untuk mohon AP tambahan ini untuk diberikan kepada LPPK negeri agar ia dapat membantu memastikan bekalan mencukupi dan menambah ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tam­bahan daripada Mohd. Azam Samat (Pas- Sungai Limau) pada Mesyuarat Kali Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu Suraya memberitahu, Dasar Penternakan Negeri Kedah adalah selari dengan Dasar Pertanian Negara dan Dasar Agromakanan Negara.

"Sehingga kini Kedah telah mencapai tahap sara diri sebanyak 14.9 peratus bagi komoditi lembu; 13.5 peratus kerbau; 25.9 peratus kambing; 30.4 biri-biri; ayam 110 peratus dan telur 92 peratus," jelasnya.

Katanya, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan negeri untuk menggerak dan menggalakkan sistem penternakan di negeri ini.

"Antara langkah yang diambil ialah meningkatkan pe­nyampaian perkhidmatan ve­terinar, meningkatkan sekuriti makanan dengan mengamalkan sistem kualiti serta keselamatan makanan dan melaksanakan kawasan zon bebas penyakit.

"Selain itu, kerajaan negeri juga menggalakkan integrasi pengeluaran daging dengan ladang penanaman kekal se­perti kelapa sawit dan getah," katanya.

Sumber:Utusan