RM8 Juta Untuk Pembangunan Pertanian Negeri Kedah

1pertanian
ALOR SETAR 1 April –  Kerajaan Negeri Kedah melalui Bajet 2014 memperuntukkan hampir RM8 juta untuk pembangunan pertanian di negeri ini, sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Kedah ingin melihat sektor pertanian berpotensi melonjakkan ekonomi negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, selain memberi tumpuan kepada peningkatan hasil pertanian terutamanya padi, Kerajaan Negeri juga berusaha untuk mewujudkan seramai mungkin usahawan tani yang mampu mengaplikasikan inovasi dan teknologi terkini dalam pertanian.

“Kerajaan Negeri Kedah juga memberikan penekanan dan perhatian utama kepada bidang pertanian dengan menyediakan peruntukan yang besar bagi memajukan sektor pertanian dan industri asas tani di negeri ini.

“Berbagai faedah serta inisiatif diwujudkan bagi membantu petani-petani di negeri ini melalui jabatan-jabatan serta agensi berkaitan. Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan tidak lama dahulu adalah berperanan sebagai roll model yang akan merealisasikan hasrat yang telah digariskan,” katanya pada majlis Penyerahan Wang Ihsan Kepada Ahli-Ahli Pengasas Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan sentiasa memastikan hala tuju sektor pertanian yang selama ini dilihat sebagai sector kurang diminati kerana pulangan hasil yang rendah, dilonjak menjadi sektor berpendapatan tinggi serta memberi pulangan yang lumayan kepada rakyat.

“Di samping itu, semua jabatan dan agensi yang terlibat diminta berusaha gigih dengan melibatkan kesemua rantaian nilai sektor pertanian bagi meningkatkan pendapatan golongan petani.

“Program transformasi ini merupakan hasrat Kerajaan untuk memodenkan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi dan inovasi agar terus berdaya saing dan signifikan dalam pertumbuhan ekonomi negeri ini dan ekonomi negara amnya,” katanya.

Menteri Besar berkata, pada penghujung tahun 2013, Kerajaan Negeri Kedah telah mengadakan Makmal Transformasi Negeri Kedah dan sektor pertanian dibincangkan dengan mendalam sekali di mana isu dan cadangan dibincang serta dikaji dengan terperinci.

“Selaku Menteri Besar Kedah, saya memberi komitmen penuh untuk membantu petani-petani di negeri ini bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Melalui makmal ini, kita telah mengenal pasti beberapa masalah iaitu kawasan tanah terbiar luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas 8,619 hektar dan kekangan-kekangan dari segi teknologi serta pemasaran luar negara. Setelah masalah ini dikenal pasti, maka Kerajaan Negeri telah merangka transformasi pertanian untuk membantu petani-petani.

“Antara transformasi pertanian yang akan Kerajaan Negeri jalankan ialah memperkenalkan industri biji benih serta kaedah penanaman padi yang kurang menggunakan air serta racun di samping membangunkan kawasan tanah terbiar dan aktiviti pertanian berskala besar iaitu berkonsep estet dan koperasi serta memperkenalkan padi organik,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, YB. Dato’ Wira Khazali Haji Din; Yang Dipertua Persekutuan Penanam-Penanam Padi Kedah, Tuan Haji Ismail Abdul Rahman dan Setiausaha Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah, Tuan Haji Mohd Zaini Haji Ramli.

Sumber:UMTK