ALOR SETAR 29 April – Pelabur dari China terus menunjukkan minat untuk melabur di Kedah dan ini suatu perkembangan yang positif.
Menteri
Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, beberapa
syarikat besar dari negara itu berminat dalam bidang sektor pengeluaran,
pertanian dan perikanan.
“Maklum
balas itu diperoleh daripada lawatan pegawai Kerajaan Negeri ke
beberapa syarikat besar di negara itu. Kita sudah ada kolaborasi dengan
China di Gurun.
“Namun,
minat pelaburnya meningkat, malah terdapat dua syarikat besar dalam
bidang automotif menyatakan minat. Namun, saya belum boleh umumkan
selagi tidak muktamad,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-13 di Wisma Darul Aman, di sini.
Menurutnya, Kedah juga sedang mengintai pelaburan di Jepun dengan menganjurkan Seminar Pelaburan Kedah di Tokyo pada Mei 2014.
“Saya
akan mengetuai delegasi ke Jepun untuk menyertai konvensyen dengan
kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pihak
swasta,” katanya.
Menteri
Besar juga berhasrat melawat Mie Prefecture di Jepun bagi berkongsi
kejayaan mereka dalam sektor penanaman padi, industri automotif,
elektronik dan elektrikal serta pelancongan pusat bersejarah.
“Ada banyak persamaan dengan Kedah. Mungkin boleh lawat untuk ketahui resipi kejayaan mereka dalam sektor berkaitan,” katanya.
Mengulas
mengenai projek Zon Perindustrian Petroleum Yan (ZIPY) di Sungai Limau,
membabitkan Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd (MERAPOH) dan China
Energy Huacheng Industrial Investment Co.Ltd (China Enegy), Menteri
Besar berkata, perincian projek sedang dilakukan bagi mengenal pasti
nilai sebenar pelaburan.
“Walaupun
anggaran pelaburan awal mencecah RM28 bilion (U$10 bilion), namun ia
mengambil masa panjang, sebab itu saya belum umum jumlah pelaburan yang
akan dimeterai,” katanya.
Sumber:UMTK