Kedah Perluas Penggunaan Portal i-TR1M

6itr1mMukhriz Tun Mahathir membaca buku cerita Inggeris bersama Kelab Bahasa Inggeris Parlimen Jerlun selepas majlis perasmian program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M) peringkat negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

JERLUN 6 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, semua calon UPSR dan SPM di negeri itu kini berpeluang menggunakan portal itu sebagai latihan bimbingan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

"Cita-cita kita adalah untuk meletakkan negeri Kedah dalam kalangan lima negeri paling cemerlang pendidikan dan mencatatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan-peperiksaan awam.

"Saya yakin Program i-TR1M ini akan menjadi satu platform yang bakal membantu mencapai Aspirasi Pendidikan Kedah TOP5 2015," katanya ketika melancarkan i-TR1M peringkat negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, pada tahun lalu, portal itu hanya boleh digunakan pelajar di 16 sekolah menengah dan 19 sekolah rendah terpilih di Kedah dan bermula tahun ini, program tersebut diperluaskan kepada semua calon peperiksaan awam.

"Jadi saya harap semua calon dapat menggunakan portal ini sebaik mungkin dalam menghadapi peperiksaan UPSR dan SPM nanti.

"Saya juga difahamkan kefahaman pelajar dalam mata pelajaran yang kritikal seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains telah meningkat setelah menggunakan portal ini," jelasnya.

Tambah beliau, pihak sekolah juga perlu memperbanyakkan aktiviti yang menumpukan kepada penggunaan bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajarnya.

"Saya ingin memberi contoh iaitu di kawasan Parlimen Jerlun in, wakil rakyatnya, Datuk Othman Aziz telah memulakan satu inisiatif untuk membudayakan penggunaan bahasa Inggeris melalui penubuhan English Club - Parliament of Jerlun.

"Saya amat mengalu-alukan usaha seumpama itu diperbanyakkan di kawasan-kawasan lain agar pelajar-pelajar di negeri ini lebih mahir berbahasa Inggeris," katanya.

Sumber: Utusan