Transformasi Rela Tarik Minat Belia

16rela
BALING 16 Mac - Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditransformasikan dalam usaha memperkasakan peranannya sekali gus memberi manfaat kepada anggotanya dan masyarakat.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, transformasi itu dilakukan untuk menarik minat rakyat khususnya golongan muda untuk menyertai Rela.

“Rela ditransformasikan untuk menarik penyertaan lebih ramai golongan muda demi menjaga keamanan negara.

“Menyertai Rela bukan semata-mata untuk menjaga jalan ketika musim kenduri perkahwinan dan sebagainya malah ia lebih daripada itu," kata Abdul Azeez ketika merasmikan Majlis Penyerahan Uniform Rela di Pusat Khidmat Komuniti Rela Kuala Ketil, di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Rela Daerah, Mohd. Razif Ramli. Menurut Abdul Azeez, usaha sedang dilakukan untuk mewujudkan medan sasar bagi latihan menembak di daerah ini untuk kegunaan Rela itu sendiri.

“Dengan kepimpinan yang sedia ada, saya percaya martabat Rela akan terus diangkat menjadi sebuah badan sukarelawan yang disegani oleh masyarakat," katanya.

Sementara itu, anggota Rela wanita, Rodziyah Nayan, 51, berkata, dia menyertai pasukan Rela lebih tujuh tahun dan sehingga kini masih bersemangat untuk meneruskan khidmat baktinya.

“Hanya ini sahaja sumbangan saya untuk menjaga keamanan negara dan rakyat, selagi mampu dan tenaga saya masih diperlukan, saya akan meneruskan khidmat ini melalui pasukan Rela," kata Rodziyah.

Sumber: Utusan