Pupuk Sikap Cintai Alam Guna Pakej Kesukarelaan

10sukarelaMat Noh Ahmad (kiri) bersama Roslan Othman merasmikan program pakej kesukarelaan di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Shahni Farhana Mat Sahir

ALOR SETAR 10 Mac - Tourism Malaysia negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berusaha memupuk kesedaran berhubung penjagaan kebersihan Sungai Kedah menerusi pakej kesukarelaan yang bakal diperkenalkan pada 28 Mac ini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, pakej berbentuk kesukarelaan itu diadakan selama tiga hari dua malam dengan kumpulan pertama peserta melibatkan 40 orang pelajar dari sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur serta pelajar Singapura.

"Program itu akan memberi peluang kepada pelajar untuk bercuti sambil berbakti di bandar raya ini.

"Aktiviti pembersihan sungai akan dilakukan bermula dari taman persisiran Tanjung Chali sehinggalah ke Sungai Raja dan mereka akan melontar bola lumpur di terusan Wan Mat Saman," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pakej kesukarelaan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Jabatan Hutan negeri dan Pejabat Daerah Padang Terap itu diadakan bersempena Karnival Sambutan Sedekad MBAS yang bakal berlangsung pada 21 Mac hingga 30 Mac di perkarangan Stadium Darul Aman.

Menurut Mat Noh, pelajar terlibat juga akan merasai pengalaman bercuti dalam suasana kampung apabila mereka menginap di sebuah homestay di Jalan Langgar dekat sini.

"Kita juga berharap apabila pulang nanti, mereka akan berkongsi pengalaman di sini bersama-sama keluarga dan rakan-rakan di negara asal," katanya.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia negeri, Roslan Othman memberitahu, selepas ini, program tersebut akan dibuka kepada penyertaan orang ramai dengan bayaran bermula RM350 seorang.

"Kita mensasarkan seramai 250 peserta menyertainya nanti dan program ini juga bakal dijalankan tiga kali setahun iaitu pada Mac, September dan Disember," ujarnya.

Sumber: Utusan