Bina Rumah Secara Pukal

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
17binarumahMUKHRIZ Tun Mahathir menerima cendera mata berupa sebuah potret beliau daripada Pengurus Besar KEDA, Datuk Mohd. Arpan Shari (kanan) selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KEDA di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

ALOR SETAR 17 Mac - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan mempertimbangkan cadangan untuk membina rumah secara pukal sebagai sebahagian daripada pendekatan baharu dalam menghasilkan rumah yang lebih berkualiti dan tersusun.

Pengerusinya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pendekatan itu sama sekali berbeza berbanding sebelum ni di mana pihaknya membina rumah di atas tanah milik individu yang ada ketikanya menimbulkan masalah ekoran perbalahan keluarga.

"Oleh itu, saya cadangkan tadi mungkin lebih elok jika kita buat seperti kampung tersusun atau taman perumahan di mana rumah dibina secara pukal di tapak luas.

"Apabila rumah dibina secara pukal, kita yakin akan berlaku penjimatan sekali gus membolehkan KEDA membina rumah yang lebih berkualiti untuk didiami oleh masyarakat berpendapatan rendah," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KEDA di Bangunan Tunku di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Azmi Che Hussain.

Menurut Mukhriz, sebelum ini pembinaan rumah secara pukal seperti dicadangkan itu pernah dilaksanakan di Kupang, Baling.

"Tindakan itu tampak memberi lebih manfaat di mana lebih banyak rumah dapat dibina secara serentak demi memenuhi permintaan tinggi daripada rakyat negeri ini," ujarnya.

Sementara itu, Mukhriz dalam ucapannya berkata, setakat ini KEDA mempunyai rekod cemerlang dengan telah membangunkan 58 buah kampung yang dilengkapi dengan kemudahan asas.

"Daripada jumlah itu, hampir 15,000 buah rumah telah dibina untuk golongan yang memerlukan. Jumlah itu belum mengambil kira pembinaan rumah-rumah untuk keluarga termiskin di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).

"Selain itu, peranan KEDA juga amat menyerlah dalam menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan pedalaman," katanya.

Sumber: Utusan