STPM: 33 Calon Dapat PNGK 4.00

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
19stpmMANSOR Lat menunjukkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2013 bagi keseluruhan negeri Kedah di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

ALOR SETAR 19 Mac - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 di Kedah mencatat peningkatan memberangsangkan dengan 33 daripada 4,112 calon memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding cuma 22 pelajar pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mansor Lat ketika mengumumkan perkara itu berkata, kejayaan itu turut membantu peningkatan pencapaian gred purata sekolah (GPS) bagi negeri ini kepada 2.65 daripada hanya 2.34 pada 2012.

"Jumlah calon yang lulus sepenuhnya pada 2013 juga meningkat kepada 3,983 pelajar iaitu 98.22 peratus berbanding 3,431 atau 93.79 peratus dua tahun lalu.

"Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik (B) di sini memperoleh GPS tertinggi iaitu 3.88 diikuti SMK Sin Min, Sungai Petani dengan 3.20 dan SMK Kulim, 3.10," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Pendidikan negeri, di sini hari ini.

Sebanyak 47 sekolah mencapai keputusan peratusan mengatasi pencapaian peratusan peringkat nasional iaitu 97.1 peratus berbanding hanya 31 sekolah pada 2012.

Sejumlah 26 daripadanya merupakan sekolah luar bandar yang mana SMK Padang Serai merupakan sekolah terbaik dalam kategori tersebut di negeri ini dengan pencapaian GPS 3.03.

Sementara itu dua pelajar iaitu Nurul Syuhadah Yakath Ali dari SMK Kuala Ketil dan Mohamad Fairus Azmi dari SMK Tunku Abdul Malik terpilih sebagai pelajar terbaik di Kedah apabila memperoleh gred A dalam empat mata pelajaran diambil.

Lebih mengagumkan, Mohamad Fairus merupakan pelajar orang kurang upaya (OKU) yang berada di ibu negara bagi menerima anugerah di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini di atas kecemerlangannya itu.

Sumber: utusan