Pencapaian Kedah Bertambah Baik

Oleh SAFINA RAMLI
20spmMansor Lat ( dua dari kanan ) menyampaikan slip keputusan SPM kepada Calon Berkeperluan Khas ( CBK ) yang cemerlang dari SMK Agama Kedah , Mohd. Hadi Darus dengan mendapat 11A semasa Majlis Pengumuman Keputusan SPM Peringkat Negeri Kedah di SMK Agama Kedah, Mergong, semalam. -UTUSAN/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 20 Mac - Pencapaian keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 bagi Kedah bertambah baik dengan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 5.04 mata berbanding 5.23 mata pada 2012.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mansor Lat berkata, secara keseluruhan, pencapaian SPM 2013 itu adalah amat membanggakan berdasarkan indeks GPN berbanding tahun-tahun lepas.

"Berdasarkan GPN pencapaian calon bandar meningkat sebanyak 0.26 mata iaitu daripada 5.06 mata pada 2012 kepada 4.80 mata pada 2013.

"Pencapaian calon luar bandar juga meningkat sebanyak 0.22 mata iaitu daripada 5.77 mata pada 2012 kepada 5.55 mata pada 2013," katanya dalam sidang akhbar mengumumkan keputusan SPM peringkat negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di sini hari ini.

Menurut Mansor, dalam SPM 2013, prestasi lima daripada tujuh mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains juga meningkat.

Katanya, hanya prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam menurun berbanding tahun lalu.

"Daripada 37,914 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM, sebanyak 662 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia berjaya memperoleh semua gred A (cemerlang) bagi mata pelajaran yang diduduki.

"Di samping itu sebanyak 12 calon berjaya memperoleh gred A+ (cemerlang tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki," ujarnya.

Sumber: Utusan