Beli Peralatan Moden

Oleh OPAT RATTANACHOT
19peralatanmodenMohd. Saiful Khairul Anuar Zainal (kanan) bersama Mohd. Fuzi Mohaideen semasa majlis perasmian Program Transformasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Kulim, Kedah, baru-baru ini.

KULIM 19 Mac - Syarikat pemegang konsesi pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman), telah membelanjakan kira-kira RM27.5 juta untuk membeli peralatan moden bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan syarikat itu di Kedah dan Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mhd. Saiful Khairul Anuar Zainal berkata, antara peralatan tersebut adalah 22 kenderaan pemampat sampah baharu yang menepati piawaian antarabangsa, sebuah kenderaan pembersih jalan dan 38 unit lori pembersihan awam.

"Syarikat juga telah membeli sebanyak 65,000 buah tong sampah pelbagai ukuran antara 120 liter hingga 1,100 liter untuk diagihkan kepada orang ramai. Kos bagi tong sampah sahaja menelan belanja hampir RM 7 juta.

"Kesemua kelengkapan berkenaan sememangnya menepati piawaian antarabangsa. Kita berharap dengan kelengkapan tersebut ia dapat meningkatkan lagi perkhidmatan kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Transformasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Mohd. Fuzi Mohaideen di Padang Awam, di sini kelmarin.

Khairul Anuar memberitahu, selain itu, syarikat turut menempah sebuah lori penyedut longkang dan lori air tekanan tinggi berkapasiti 8,000 liter bernilai RM1.5 juta untuk melaksanakan kerja-kerja membersihkan longkang tertutup.

"Di samping perolehan kelengkapan baharu, kita menganjurkan kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji dan sebuah bank tempatan untuk menganjurkan program mengumpul barangan kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah.

"Sebagai insentif daripada aktiviti mengutip barangan kitar semula, kita akan membuat bayaran kepada pelajar sekolah terbabit mengikut kadar semasa," katanya.

Beliau memberitahu, bagi menyokong program tersebut, pihaknya merancang untuk membuka sebuah pusat kitar semula di Kulim pada tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, E-Idaman kini memerlukan lebih 25 orang pemandu wanita untuk mengendalikan lori kecil yang digunakan mengangkut sampah di negeri Kedah.

Katanya, sehingga ini, lapan orang pemandu lori wanita telah dilantik di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengendalikan kenderaan tersebut.

Sumber: BERNAMA