Oleh NORLIA RAMLI
SIK
3 Mac - Seramai 25 peserta Azam Tani di kawasan ini dipantau oleh
agensi berkaitan demi memastikan projek yang mereka usahakan mampu
menjana pendapatan yang lebih lumayan.
Pengerusi
Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian
Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, projek ini
diselenggarakan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian
Malaysia (MARDI) untuk membantu rakyat miskin yang mendaftar dalam
e-Kasih.
"Kerajaan
amat prihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu mereka yang
miskin untuk menjana pendapatan agar mereka boleh keluar daripada
kepompong kemiskinan.
"Melalui
projek Azam Tani ini, MARDI akan memberikan bantuan dan sentiasa
membuat pemantauan bagi memastikan projek mereka yang terpilih ini
berjalan sempurna seperti yang diharapkan," kata Mohd.Tajudin ketika
Program Pemimpin Turun Padang Projek Azam Tani di sini baru-baru ini.
Turut
hadir, Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI,
Jamaludin Salim dan Pengarah MARDI negeri, Rashidan Ariffin.
Menurut
Mohd. Tajudin, program ini memberi peluang kepada peserta untuk
berdikari bagi menambahkan pendapatan yang dahulunya hanya sekitar RM300
tetapi sekarang kini melebihi RM1,200 sebulan.
Sementara
itu, peserta projek Perkhidmatan Pertanian, Abu Hassan Ngah, 52 dari
Kampung Belantik, berkata, dia yang mengusahakan semaian benih pelbagai
pokok telah meraih pendapatan yang lumayan.
"Jika
dahulu pendapatan saya sekitar RM300 sahaja, tetapi kini saya
memperolehi lebih RM1,300 sebulan hasil daripada projek yang saya
usahakan dengan bimbingan MARDI," kata Abu Hasan.
Pengusaha
kedai makanan dan minuman, Che Hajar Ismail, 41, dari Kampung Charuk
Tenang memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sebulan hasil perniagaan
yang dijalankan.
"Walaupun
agak lama saya menunggu dan hampir kecewa, tetapi kini syukur
alhamdulillah kerana dengan bantuan ini saya boleh membaiki kedai lama
yang uzur serta dapat menambah peralatan yang baru," kata Che Hajar.
Melalui
projek itu, setiap peserta memperoleh bantuan sehingga RM10,000 yang
diberikan mengikut keperluan mereka dari masa ke semasa.
Sumber: Utusan