ALOR
SETAR 3 Mac - Orang ramai dialu-alukan menyumbang barangan terpakai
kepada pusat aktiviti Kindness Malaysia (Kindness.my) Wilayah Utara di
Taman Bandar Baru, Mergong di sini bagi menyemai sifat saling
bantu-membantu dalam kalangan masyarakat.
Koordinator
projek itu, Mohd. Azrul Mohd. Razak berkata, barangan terpakai yang
dikumpulkan pihaknya akan diserahkan kepada mereka yang memerlukan.
"Baru-baru
ini kami telah membuka gerai di Pasar Tani Mergong dan kami letakkan
semua barangan terpakai yang telah diserahkan kepada Kindness.my di
situ.
"Barangan
terpakai seperti baju, kasut sekolah dan lain-lain lagi yang masih
boleh digunakan telah diberikan secara percuma kepada orang ramai yang
memerlukan," katanya di sini hari ini.
Menurut
Mohd. Azrul, aktiviti penyerahan barangan terpakai secara percuma
kepada orang ramai akan diteruskan pada masa akan datang.
"Program
di Pasar Tani Mergong itu merupakan program kedua yang dijalankan oleh
Kindness.my dan kita akan anjurkan lagi aktiviti sebegini.
"Orang
ramai hanya perlu menekan butang 'like' di laman sosial Facebook
Kindness.my untuk mengetahui di mana lokasi terkini barangan terpakai
akan diedarkan," jelasnya.
Tambahnya,
selain pengumpulan barangan terpakai, Kindness.my juga aktif dalam
membantu golongan gelandangan di negeri ini dan pihaknya menggalakkan
penglibatan lebih ramai sukarelawan dalam program tersebut.
"Di daerah Kota Setar, kita ada kira-kira 85 sukarelawan Kindness.my yang aktif dalam program membantu golongan gelandangan.
"Sesiapa
sahaja yang berminat untuk menyertai aktiviti itu boleh terus ke lokasi
yang akan dinyatakan melalui akaun Facebook kami," katanya.
Sumber: Utusan