Penjaja Dikecuali Bayar Lesen

Oleh Safina Ramli
31penjajaBadrul Hisham Hashim memberi penerangan mengenai pengecualian cukai kepada penjaja kecil selepas Mesyuarat Penyelarasan Pengecualian Lesen Penjaja di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, semalam.- Utusan/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 31 Mac - Lebih 100,000 penjaja kecil di negeri ini dikecualikan daripada membayar lesen bagi semua kategori perniagaan di pasar sehari, pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan penjaja bergerak, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, perkara itu merupakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah mengikut kertas No. 6 (F) 304/2013 yang bersidang pada 18 Disember tahun lalu.

"Perkara ini merupakan antara janji kerajaan negeri kepada rakyat dan kini mula dilaksanakan sebagai tanda kita mengambil berat hal ehwal penjaja kecil di negeri ini.

"Dulu hasil yang diperoleh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi bayaran lesen penjaja ialah RM4 juta setahun, sekarang kerajaan negeri yang akan tambah nilai tersebut kepada PBT mengikut lesen yang dikeluarkan dalam setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan pengecualian bayaran lesen penjaja di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan suara penjaja kecil didengari di negeri ini, seorang wakil penjaja diletakkan sebagai ahli majlis di dalam setiap PBT sejak enam bulan lalu.

"Setiap masalah yang dihadapi penjaja, kita akan dapat maklumat secara terus daripada wakil ini dan selesaikan masalah ini dengan segera," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Badrul Hisham berkata, kerajaan negeri tidak bercadang melaksanakan catuan air memandangkan bekalan masih mencukupi.

"Paras air empangan utama kita masih boleh bertahan sehingga tiga bulan lagi, jadi tidak ada catuan air dalam tempoh terdekat.

"Sekarang hujan mula turun dan dijangka musim kering akan berakhir tidak lama lagi," katanya.

Sumber:Utusan