Pelajar Terbaik STPM Luar Bandar Terima Sijil Penghargaan

29stpmNurul Syuhadah Yakath (tengah) dan ibu bapanya menunjukkan sijil penghargaan yang diperoleh sebagai pelajar terbaik STPM 2013 kategori luar bandar di rumahnya di Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil, Kedah, semalam. - MINGGUAN/NORLIA RAMLI

BALING 29 Mac - Seorang calon pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 di sini tidak menyangka akan muncul pelajar terbaik negara bagi kategori sekolah luar bandar.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Ketil, Nurul Syuhadah Yakath, 19, dari Kampung Padang Kulim berkata, dia sebenarnya amat terkejut apabila dimaklumkan tentang berita gembira tersebut.

"Saya terkejut apabila diberitahu menjadi pelajar terbaik untuk STPM ini dan syukur kepada Allah kerana penat lelah selama ini berbaloi.

"Kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan pelajar luar bandar juga mampu bersaing hebat dengan pelajar di kawasan bandar sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh," katanya.

Nurul Syuhadah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyampaikan sumbangan dan sijil penghargaan di kediamannya di Kampung Padang Kulim, di sini semalam.

Pelajar cemerlang yang merupakan anak kepada pasangan guru, Yakath Ali SM Habib Mohamad, 52, dan Mahani Abd. Jaafar, 49, itu mencatat keputusan A bagi semua mata pelajaran diambil.

Sementara itu, Abdul Azeez berharap, kejayaan dicapai Nurul Syuhadah itu menjadi ikutan pelajar lain di daerah ini.

"Syabas diucapkan kepada Nurul Syuhadah kerana dia telah membuktikan kepada negara bahawa pelajar cemerlang tidak semestinya datang dari kawasan bandar.

"Pelajar luar bandar juga mampu meraih kejayaan besar sekiranya mereka bertekad dan berazam untuk memperolehnya," kata beliau.

Sumber:Utusan