SIK
22 Mac - Seorang peniaga kini boleh menarik nafas lega apabila gerai
lamanya yang bertiangkan buluh dan berbumbungkan kain serta daun rumbia
digantikan dengan gerai yang lebih baik melalui program bantuan Azam
Tani.
Ahmad
Jamil Ismail, 52, dari Kampung Sungai Namek, Teloi Tua dekat sini
berkata, dia amat menghargai bantuan tersebut yang membolehkan dia
menjalankan perniagaan gerai makannya itu dengan lebih selesa.
"Dulu
berniaga di gerai usang yang dibina sendiri dengan menggunakan
bahan-bahan dari hutan dan kini saya lebih selesa dan gembira berniaga
di gerai baharu ini.
"Pendapatan
saya juga bertambah daripada RM40 sehari kini mencecah RM80 sehari,"
kata Ahmad Jamil ketika ditemui dalam Program Masuk Kampung MARDI
Bersama Rakyat, di sini baru-baru ini.
Turut
hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan
Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan Timbalan Ketua
Pengarah Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI),
Datuk Dr. Masri Muhamad.
Dalam
pada itu, menurut Mohd. Tajudin, projek itu diselenggarakan oleh MARDI
untuk membantu rakyat miskin yang telah mendaftar dalam E-Kasih.
"Kerajaan
amat prihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu mereka yang
miskin untuk menjana pendapatan agar mereka boleh keluar daripada
belenggu kemiskinan," katanya.
"Melalui
projek Azam Tani ini, pihak MARDI akan memberikan bantuan dan sentiasa
membuat pemantauan bagi memastikan projek mereka yang terpilih itu
berjalan lebih sempurna seperti yang diharapkan," katanya.
Melalui
projek itu, setiap peserta akan memperoleh bantuan sehingga RM10,000
yang diberikan mengikut keperluan peserta dari semasa ke semasa.
Sumber:Utusan