Pejabat Tanah Kulim Capai Taraf Lima Bintang

KULIM 24 Mac - Pejabat Tanah (PT) Kulim sekali lagi merangkul anugerah pada peringkat kebangsaan apabila berjaya mencapai taraf lima bintang dalam Audit Penilaian Pentadbiran Tanah, baru-baru ini.

Program penarafan tersebut mula dilaksanakan pada tahun 2013 dengan melibatkan semua pejabat tanah dan daerah di seluruh Malaysia.

Penolong Pentadbir Tanah (Pendaftaran) PT Kulim, Mohd. Nasrun Suid berkata, penilaian berkenaan turut dijalankan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Jabatan Audit Negara.

"Sebelum ini, sesi prapenilaian penarafan bintang telah dilaksanakan di 22 buah pejabat tanah.

Daripada jumlah itu, empat pejabat tanah mendapat empat bintang manakala sembilan lagi pejabat memperoleh tiga bintang dan selebihnya diberikan tiga bintang.

"Bagi sesi penilaian akhir pula melibatkan 17 pejabat tanah. Selepas melepasi sesi ini, PT Kulim telah diiktiraf oleh panel penilaian menjadi pejabat yang mendapat penarafan lima bintang," katanya dalam majlis lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Zoal Azha Yusof di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian, Datuk Dr. Sallehuddin Ishak serta Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Datuk Wira Mohd. Nor Rafie.

Mohd. Nasrun berkata, melalui penarafan berkenaan, ia akan me­ningkatkan motivasi kerja dalam kalangan kakitangan PT Kulim dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

PT Kulim pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat nasional antaranya adalah Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) pada tahun 2010.

Sumber:Utusan