Indeks Kadar Jenayah Menurun

Oleh SAFINA RAMLI dan NORLIA RAMLI
25indeksjenayahZaleha Abd. Rahman semasa menghadiri majlis penyampaian sijil penghargaan Ketua Polis Kedah kepada para anggota polis yang cemerlang dalam perkhidmatan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 peringkat negeri Kedah di Ibu Pejabat Polis Kedah, Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 25 Mac - Indeks kadar jenayah di Kedah bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak hampir 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zaleha Abdul Rahman berkata, bagi mencapai sasaran yang lebih baik, pihaknya berharap orang ramai akan terus memberikan kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada polis.

"Bagi tempoh Januari dan Februari tahun ini, jumlah jenayah indeks dicatatkan ialah sebanyak 1,450 kes berbanding 1,611 kes bagi tempoh sama tahun lalu, penurunan sebanyak 9.99 peratus," katanya selepas menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, di Baling, seramai 65 penerima yang terdiri daripada anggota polis, wartawan dan orang awam menerima sijil penghargaan daripada pihak polis sempena sambutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hassan berkata, sijil penghargaan tersebut diberikan untuk menghargai jasa orang awam yang membantu pihak polis menangani jenayah di daerah itu.

"Selain daripada tugas hakiki seorang anggota polis menjaga keselamatan, orang awam juga memainkan peranan penting untuk menghalang kegiatan jenayah daripada berleluasa," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini hari ini.

Sementara itu, penerima sijil kategori orang awam, M. Ravi, 42, berkata, dia tidak menyangka akan menerima sijil penghargaan tersebut kerana tanggungjawab menjaga keamanan ialah tugas semua pihak.

"Sebagai rakyat yang cintakan negara kita perlu ada inisiatif untuk membantu pihak polis bagi mengurangkan kadar jenayah di tempat tinggal kita. Sijil penghargaan yang diterima hari ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk membantu polis," katanya.

Sumber:Utusan