ANGGOTA
Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran di kawasan hutan di Gunung Jerai
, Kedah, yang dipercayai berpunca akibat cuaca kering yang berlarutan
sejak kebelakangan ini. - GAMBAR IHSAN, JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT
ALOR
SETAR 24 Mac - Hampir 10 hektar hutan di Gunung Jerai yang menyimpan
pelbagai khazanah berharga, dikhuatiri musnah ekoran berlakunya
kebakaran sejak seminggu lalu sehingga kini.
Menurut
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Abdul Muin Ayob,
kebakaran itu berpunca daripada cuaca panas dan kering kebelakangan ini.
Kata
beliau, pihaknya menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran di
kawasan itu memandangkan lokasinya jauh dari jalan utama, tiupan angin
kencang dan kedudukannya yang curam.
"Lokasi
kebakaran dianggarkan berada pada paras ketinggian 640 meter dari aras
laut. Lebih menyukarkan keadaan, untuk sampai ke situ kami perlu
berjalan lebih dua jam di dalam kawasan hutan.
"Justeru,
apa yang kami mampu lakukan, hanyalah menghalang kebakaran itu daripada
merebak, khususnya di kawasan bawah yang lebih banyak pokok," katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Gunung
dengan ketinggian 1,217 meter dari aras laut itu merupakan yang
tertinggi di utara semenanjung tanah air selain menjadi tumpuan
pengunjung untuk melawat tempat-tempat bersejarah serta rekreasi seperti
berjoging.
Seorang
pekerja resort berhampiran yang enggan dikenali mendakwa, kebakaran di
kawasan itu sudah bermula sejak hampir seminggu lalu.
"Sejak
seminggu lalu, api sudah mula ada di kawasan tepi jalan menuju ke
puncak. Tetapi nampaknya, kini sudah mula padam dan hanya tinggal asap.
"Kemudian
hari ini saya difahamkan berlaku kebakaran di dalam hutan pula.
Diharapkan agar kebakaran ini dapat dipadam secepat mungkin dan tidak
memberi kesan kepada kami yang mencari rezeki di sini," katanya.
Sumber:Utusan