Kedah Terus Beku Permit Korek Pasir

28korekpasirTajul Urus Md. Zain (kiri) bersama penduduk meninjau kegiatan mengorek pasir sungai yang mengakibatkan kawasan pertanian di sekitarnya terjejas di Kampung Batu Belacan, Bukit Selambau dekat Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 28 Mac - Kerajaan negeri Kedah akan terus membekukan pengeluaran sebarang permit mengorek pasir sungai sehingga diputuskan dalam mesyuarat Exco kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, keputusan tersebut dibuat bermula Jun lalu bagi mengelakkan implikasi negatif terhadap alam sekitar.

Beliau berkata, langkah berkenaan juga diambil selepas mendapati keperluan pasir untuk kegunaan projek-projek pembangunan di negeri ini mencukupi buat masa ini.

"Sebelum ini timbul pelbagai tuduhan mengatakan kerajaan negeri meluluskan banyak lesen atau permit mengorek pasir. Malah, ada dalam kalangan rakyat terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri rakus, tidak pentingkan alam sekitar dan cari makan dengan hasil bumi secara berlebihan.

"Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bersama barisan Exco telah mengambil keputusan membekukan pengeluaran lesen baharu bagi aktiviti mengorek pasir," katanya kepada pemberita selepas meninjau kegiatan mengorek pasir di Kampung Batu Belacan, Bukit Selambau, dekat sini semalam.

Tajul Urus berkata, kerajaan negeri memandang serius aduan yang dibuat oleh penduduk setempat berhubung implikasi negatif yang tercetus daripada kegiatan mengorek pasir.

Bagaimanapun katanya, kesulitan masih timbul apabila sesetengah Pejabat Tanah dan Daerah dikesan tidak melaksanakan arahan yang dikeluarkan oleh mesyuarat Exco tersebut.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri mengeluarkan arahan agar kerja-kerja mengorek pasir di sesetengah kawasan dihentikan tetapi pegawai di pejabat daerah pula membelakangi arahan itu. Mereka meminta pengusaha terus menjalankan kegiatan tersebut sehingga surat dikeluarkan.

"Apabila perkara sebegini berlaku, akhirnya kerajaan negeri dipersalahkan,’’ jelasnya.

Beliau berkata, dalam kes di Kampung Batu Belacan, terdapat pertindihan kuasa kelulusan antara pihak yang mengeluarkan kelulusan mengorek pasir.

"Tanah di kawasan ini telah diambil alih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk rancangan tebatan banjir Sungai Muda dan pampasan telah dibayar kepada mereka terlibat," katanya.

Tambah beliau, selepas diambil alih, sebahagian tanah rizab sungai itu disewakan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gurun untuk ahlinya menjalankan kegiatan pertanian.

"Walau bagaimanapun, masalah kemudiannya berbangkit apabila tanah rizab bersebelahan kawasan itu dijadikan tempat mengorek pasir sungai. Surat kelulusan untuk aktiviti tersebut dikeluarkan pejabat tanah. Di sini wujud masalah kelulusan tidak selaras antara agensi kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, Tajul Urus berkata, kerajaan negeri kelmarin mengambil keputusan agar projek mengorek pasir itu dihentikan segera sehingga siasatan lanjut dibuat dalam tempoh terdekat.

Sumber:Utusan