Exco Kedah Guna Proton Perdana 2.4L Baharu

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
18perdanaProton Perdana 2.L baharu yang digunakan oleh Exco Kedah

ALOR SETAR 18 Mac - Kerajaan Negeri Kedah sudah menerima 10 kereta Proton Perdana 2.4L baharu sebagai kereta rasmi menggantikan Toyota Camry yang dibeli semasa pentadbiran Pas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kereta Proton Perdana itu akan digunakan oleh Exco kerajaan negeri untuk turun padang ke seluruh pelosok negeri dan perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi.

Beliau berkata, kereta itu diserahkan oleh wakil DRB-Hicom kepada kerajaan negeri pada 12 Mac lalu di Wisma Darul Aman, di sini.

“Kereta itu sudah sampai dan digunakan oleh Exco,” katanya kepada media selepas merasmikan program wave of English di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kereta Toyota Camry yang digunakan sebelum ini akan dijual kepada bekas Exco semasa pentadbiran Pas.

Sebelum ini, kerajaan negeri pimpinan PR Kedah  membeli lima kereta Toyota Camry untuk kegunaan Exco dan pegawai kanan pada Julai 2010.

Difahamkan, tindakan menggantikan kereta rasmi Proton Perdana V6 Eksekutif yang tidak lagi ekonomik digunakan berikutan kerap mengalami kerosakan dan kos membaikinya tinggi.

Pembelian lima kereta Toyata Camry dan empat kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner itu mencecah RM1.2 juta.

Sumber: Sinar