Suraya Yaacob
SUNGAI
PETANI 10 Februari - Kerajaan Kedah akan membantu menghidupkan semula
Pekan Rabu Sungai Petani bagi menggalakkan lebih ramai usahawan
menjalankan perniagaan di situ selepas dikesan tidak 'bermaya' sejak
sekian lama.
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Wanita, Keluarga, Kebajikan
Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob
berkata, antara usaha yang akan dilakukan adalah menambah baik bangunan
di samping memberikan khidmat nasihat kepada para usahawan berminat.
Beliau
berkata, langkah tersebut diyakini mampu menjadikan Pekan Rabu Sungai
Petani sebagai pilihan bagi kalangan usahawan menjalankan perniagaan.
"Pekan
Rabu Sungai Petani dikesan tidak hidup sejak sekian lama. Hal ini
berlaku kerana wujud beberapa masalah dan ia turut melibatkan sikap para
usahawan sendiri. Saya fikir usahawan perlulah mempunyai produk yang
kukuh dan hebat.
Jika ada produk bagus, sudah tentunya pelanggan akan
pergi membeli tak kira di mana lokasi kita berniaga," katanya kepada
pemberita di sini baru-baru ini.
Suraya
berkata, kerajaan negeri akan meminta kerjasama daripada Majlis
Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) untuk meningkatkan promosi di
samping menganjurkan aktiviti sampingan seperti jualan 'car boot sales'
bagi tujuan memeriahkan semula Pekan Rabu Sungai Petani.
Tambahnya,
Pekan Rabu Sungai Petani juga berpotensi dijadikan tarikan seperti
Pekan Rabu Alor Setar sekiranya para peniaga menjalankan kegiatan
menjual produk dan perkhidmatan unik.
Sementara
itu, Setiausaha Persatuan Peniaga Pekan Rabu Sungai Petani, Norreney
Ali berkata, pada mulanya terdapat sekitar 50 peniaga yang menjalankan
kegiatan di situ.
Bagaimanapun
katanya, bilangan peniaga yang aktif kemudiannya semakin berkurangan
dan menyebabkan bangunan Pekan Rabu Sungai Petani seolah-olah hilang
seri.
"Sungguhpun
begitu, kita berharap dapat menghidupkan semula kawasan ini. Persatuan
juga telah diwujudkan dan saya berharap agar semua peniaga dapat
memberikan kerjasama untuk menjadikan Pekan Rabu Sungai Petani sebagai
lokasi perniagaan berdaya maju," katanya.
Sumber: Utusan