Kedah Cukup Bekalan Air

15empangan

SUNGAI PETANI 15 Februari - Paras air di empat empangan di Kedah masih mampu menampung keperluan bekalan di negeri itu, sama ada untuk kegunaan domestik mahupun komersial.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata, bagaimanapun terdapat kawasan mengalami tekanan air rendah dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghantar lori tangki ke kawasan berkenaan.

Amnya, paras air di Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris belum kritikal, katanya selepas merasmikan Gotong-Royong Perdana Environment Idaman, Unit Perkhidmatan Sungai Petai di Masjid Haji Zainudin, Tanjung Dawai, dekat sini hari ini.

Badrol Hisham berkata, Rabu ini kerajaan negeri akan bermesyuarat dengan jabatan dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah mengenai bekalan dan sumber air di negeri itu.

“Keadaan kemarau ini mungkin sekejap dan mungkin juga berlarutan. Justeru saya menyeru semua rakyat agar berjimat cermat bila menggunakan air kerana bimbang masalah air akan berlaku jika kemarau berpanjangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Badrol Hisham berkata, tahap kebersihan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) menunjukkan peningkatan, namun perlu ditingkatkan khususnya di kawasan tumpuan pelancong.

“Tahap kebersihan di semua PBT meningkat tetapi perlu ditingkatkan lagi dan program seperti gotong-royong perdana ini, secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran penduduk mengenai pentingnya kebersihan," katanya.

Program gotong-royong yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman Sdn. Bhd., Mhd. Saiful Anuar Zainal itu turut melibatkan Kolej Jururawat Sungai Petani, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Sungai Petani, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Universiti Teknologi Mara Merbok, Kem Pusat Latihan Khidmat Negara Damai Park Merbok, dan syarikat-syarikat korporat.

Sumber: BERNAMA