Kuota Bumiputera Kekal

Oleh OPAT RATTANACHOT
14kuota
MUKHRIZ Mahathir (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Abdul Latiff Ahmad (dua dari kiri) dalam Majlis Serah Kunci Fasa Pertama dan Pendaftaran Pembelian Fasa Kedua projek Taman Permai Utama di Jalan Jeniang, Gurun, Kedah, kelmarin.

GURUN 14 Februari - Kerajaan negeri Kedah tidak bercadang untuk mengurangkan kuota perumahan dan hartanah bumiputera daripada kadar sedia ada iaitu 50 peratus dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berdasarkan perkembangan semasa, tiada keperluan bagi kerajaan untuk berbuat demikian meskipun mendapat rungutan daripada pemaju perumahan tentang rumah dan kedai yang dikhaskan untuk bumiputera tidak terjual.

Beliau berkata, isu rumah lot bumiputera tidak terjual sebenarnya dapat diatasi apabila kerajaan negeri baru-baru ini campur tangan dengan mengadakan kaedah promosi bagi menarik minat pembeli.

"Memang pemaju dan sektor swasta ada maklumkan bahawa macam-macam kaedah yang mereka lakukan untuk galakkan pembeli bumiputera termasuk iklan dan pameran, tetapi masih tidak terjual. Namun, kerajaan negeri mengambil pendekatan sendiri seperti kita anjurkan satu program untuk bantu pamerkan lot bumiputera ini.

"Bukan sahaja rumah tetapi melibatkan premis kedai. Kita buat pada dua bulan lepas dan laporan yang diterima menunjukkan semua 200 unit rumah dan kedai lot bumiputera melibatkan nilai lebih RM50 juta dapat dijual," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serah Kunci Fasa Pertama dan Pendaftaran Pembelian Projek Taman Permai Utama kelolaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Jalan Jeniang di sini semalam.

Yang hadir bersama Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Badrul Hisham Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Dr. Leong Yong Kong.

Mukhriz mengulas desakan sektor swasta termasuk pemaju perumahan yang mahukan kerajaan negeri mengkaji semula kuota perumahan yang melibatkan 50 peratus bumiputera dan 50 peratus lagi untuk bukan bumiputera di negeri itu.

Menteri Besar itu berkata, kerajaan negeri berpendapat, tidak timbul masalah unit rumah atau kedai yang dikhaskan kepada bumiputera tidak terjual sekiranya pemaju mengambil langkah proaktif menggalakkan pembeli.

"Kerajaan negeri berjaya laksanakan kempen dan terbukti memang ada permintaan. Malah bumiputera dikesan mampu membelinya. Justeru, tak ada keperluan untuk kurangkan kuota," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 40,000 buah rumah mampu milik untuk keperluan rakyat di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, langkah itu selaras dengan polisi kerajaan yang mahu melihat rakyat memiliki kediaman selesa pada harga berpatutan selain mematuhi aku janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sumber: Utusan