Kedah Kaji Lonjak Pendapatan Petani - Norsabrina

epembelajaran
KULIM 14 Februari - Kerajaan negeri sedang mengkaji beberapa pendekatan efektif bagi membantu petani mendapat pulangan dengan lebih cepat dan mudah.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, antara usaha tersebut termasuk membekalkan benih-benih yang memerlukan masa yang singkat untuk ditanam kepada petani.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga boleh menjalankan kerjasama dengan agensi pusat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memastikan hasil keluaran pertanian dapat diedarkan ke pasaran.

"Kerajaan negeri sememangnya sentiasa berusaha menggalakkan para petani meningkatkan hasil keluaran mereka. Kita sebenarnya mempunyai kekuatan kerana turut terlibat dalam bidang bioteknologi yang mana makmal tisu yang dikendalikan Kedah Bioteknologi di Taman Teknologi Tinggi berupaya menghasilkan benih bermutu tinggi.

"Kedah Bioteknologi sebelum ini membekalkan benih pisang daripada baka yang baik dan hasilnya para petani dapat meningkatkan keluaran dan sekali gus melipatgandakan pendapatan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Motivasi dan Kurus Keusahawanan di bawah Program Azam Tani Daerah Kulim Bandar Baharu di sini semalam.

Seramai 50 peserta terdiri daripada petani dan usahawan tani menyertai kurus yang dikendalikan FAMA.

Yang turut hadir, Pengarah Operasi FAMA Wilayah Utara, Mohamad Shahrul Nizam dan Timbalan Pengarah FAMA negeri, Mohd. Fatimi Mohd. Fauzi.

Norsabrina berkata, usaha yang dijalankan kerajaan tersebut diharap dapat meningkatkan produk pengeluaran pertanian di samping menambah pendapatan petani agar keluar daripada kepompong kemiskinan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau melahirkan penghargaan atas inisiatif FAMA Kedah yang memperuntukkan RM2 juta untuk meningkatkan taraf hidup 200 petani miskin tegar melalui penganjuran pelbagai program sejak tahun lalu.

Buat masa ini katanya, seramai 100 orang dari daerah Kulim Bandar Baharu dan Baling telah mendapat manfaat daripada program berkenaan.

"Tahun ini, 100 lagi petani dari daerah Sik akan mendapat kemudahan sama. Pemilihan mereka dibuang melalui saringan daripada senarai E-Kasih yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Beliau berharap, kemudahan yang disediakan FAMA itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para petani pada masa akan datang.

Sumber: Utusan