MUKHRIZ Mahathir (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Belia Negara 2013 Peringkat Kedah, Kategori Harapan Wanita kepada Nor Idayu Abdul Razak (dua dari kanan) ketika Sambutan Festival Belia 2013 Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini. - BERNAMA
ALOR SETAR 10 Jun - Usaha membangunkan negeri ini perlu dikongsi dan disokong golongan muda yang merupakan aset berharga kepada masa depan bangsa dan negara.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, idea, tenaga dan kebolehan para belia perlu digembleng sebaik mungkin bukan sahaja untuk pembangunan negeri malah menjadi tunjang kepada jatuh bangunnya agama, bangsa dan negara.
Kata beliau, menyedari kemantapan belia sebagai aset adalah proses berterusan, pelbagai sumber akan digunakan bagi memastikan golongan itu sentiasa diutamakan.
"Kerajaan negeri juga amat komited dan sentiasa berusaha mempelbagaikan peluang dan ruang, menyediakan peruntukan serta merangka dasar komprehensif bagi menjana kejayaan dan kecemerlangan golongan belia.
"Saya amat berharap belia menyokong segala usaha kerajaan negeri untuk memajukan Kedah," katanya ketika berucap merasmikan Festival Belia Kedah 2013 di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini kelmarin.
Festival tiga hari berakhir kelmarin yang diisi dengan pelbagai program menarik itu merupakan acara tradisi di peringkat negeri ini bagi memeriahkan sambutan Hari Belia Negara yang ditetapkan pada 15 Mei setiap tahun.
Yang hadir sama, beberapa Exco kerajaan negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar dan Presiden Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK), Ku Iskandar Ku Saad.
Mukhriz berkata, golongan muda diseru sentiasa menetapkan hala tuju jelas selain meneroka potensi diri untuk menjadi modal insan berkualiti dan dinamik yang mampu menyumbang idea serta tenaga ke arah pembangunan negeri.
Menurut beliau, cabaran dihadapi golongan tersebut pada masa ini jauh lebih mencabar berikutan pelbagai kemajuan dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat serta sains yang membawa kepada dunia tanpa sempadan apabila maklumat berada di hujung jari.
"Nikmat kemajuan yang dikecapi ada kalanya boleh menjadi cabaran besar tanpa kita sedari. Anak muda perlu bijak meneliti maklumat yang diterima dengan mata hati di samping membina jati diri kukuh berlandaskan agama sebagai tunjang kehidupan," katanya.
Beliau juga menggalakkan generasi muda bergiat aktif dalam persatuan di kawasan dan organisasi masing-masing.
Katanya, penglibatan mereka bukan sahaja menjadi alternatif aktiviti bagi mengisi masa lapang malah dapat menyemai semangat jati diri serta kesukarelaan.
Sumber: Utusan