Kecewa Masalah Gangguan Air Berlarutan

Oleh SAFINA RAMLI
5tiadaairCHE Ismail Jaafar terpaksa memasang pam bagi menyedut air telaga akibat gangguan bekalan air yang berlarutan di Kampung Panchor Pokok Sena, Kedah, baru-baru ini.

POKOK SENA 5 Februari - Setiap hari sejak lima tahun lalu kira-kira 700 penduduk di Kampung Panchor di sini terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi untuk menadah air disebabkan masalah gangguan bekalan air di kampung mereka.

Masalah tersebut semakin meruncing apabila setiap kali tiba musim perayaan dan perkara itu membuatkan urusan seharian penduduk seperti mandi, membasuh dan memasak menjadi sukar.

Seorang penduduk, Idrus Che Ismail, 34, berkata, masalah gangguan air yang melanda kampung tersebut sudah banyak kali diadukan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA), namun masih gagal diselesaikan.

"Musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini membuatkan bekalan air semakin meruncing di kampung ini, bekalan air yang dihantar oleh lori SADA juga tidak mempunyai jadual yang tetap.

"Setiap hari kami terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi untuk menadah air dan kami sudah tidak mampu bersabar dengan keadaan ini lagi.

"Bekalan air pula hanya ada pada waktu pagi dan ketiadaan air menyukarkan urusan seharian kami," katanya ketika ditemui di Kampung Panchor di sini baru-baru ini.

Menurutnya, bekalan air mula terganggu di kampung tersebut selepas banyak taman perumahan dibina di kawasan Pokok Sena.

"Rumah kami mempunyai telaga namun airnya tidak boleh diminum kerana berminyak dan hanya boleh digunakan untuk membasuh pakaian atau pinggan mangkuk.

Sumber: Utusan