e-Pembelajaran Mulai Jun Ini

Oleh OPAT RATTANACHOT
epembelajaran
BANDAR BAHARU 6 Januari - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan melaksanakan program e-pembelajaran di seluruh sekolah rendah di negeri ini secara berperingkat bermula Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum dalam murid sekolah rendah agar setanding dengan negeri-negeri lain.

Beliau berkata sebagai permulaan, Sekolah Kebangsaan (SK) Relau di sini dipilih sebagai sekolah perintis program tersebut.

"Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada dasarnya telah bersetuju dengan rancangan ini. Kerajaan negeri berpendapat bahawa kita perlu memperkasakan penduduk negeri ini dalam bidang teknologi maklumat dan salah satunya adalah melalui institusi sekolah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah sekitar daerah ini baru-baru ini.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata, program e-pembelajaran yang diperkenalkan tersebut juga dijangka meningkatkan lagi keupayaan murid sekolah dalam bidang teknologi maklumat dan perkembangan terkini.

"Sebelum ini ada sesetengah sekolah telah mengguna pakai sistem e-pembelajaran tetapi atas inisiatif sendiri dan juga sumbangan daripada persatuan-persatuan. Selepas ini kita berharap program tersebut dapat dijalankan secara menyeluruh termasuk di sekolah-sekolah luar bandar," katanya.

Sumber: Utusan