Amanat Mukhriz Sempena 2014

ROSLINDA HASHIM
amanatALOR SETAR 7 Januari - Sempena tahun baharu 2014, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir mengingatkan kakitangan kerajaan agar melakukan pembaharuan yang positif terutama dalam pengurusan kewangan dan transformasi dalam pengurusan.

Katanya, pengurusan kewangan perlu diurus secara berhemah dengan membuat penjimatan dalam perbelanjaan.

“Ini tidak bermaksud ketepikan perkara penting yang perlu dibelanjakan atau tangguh, sebaliknya lihat pada keutamaan. Jika hasil daripada perbelanjaan itu memberi manfaat untuk jangka panjang, ia wajar diteruskan,” katanya, ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan pertama tahun ini, di Dataran Wisma Darul Aman, semalam.

Mukhriz berkata, walaupun penjimatan menjadi agenda utama, namun ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya juga mengingatkan agar jangan boros dan kurangkan perbelanjaan besar yang tidak beri faedah kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, kakitangan juga disaran lebih inovasi dalam menyalurkan idea bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Transformasi perlu konsisten, diharap kakitangan akan fikirkan inovasi untuk mempertingkat prestasi perkhidmatan agar lebih berkesan. Saya cadangkan semua unit dan jabatan kemukakan idea kepada bahagian masing-masing, dan keberhasilan yang berkesan kelak akan kita iktiraf dan beri sagu hati,” katanya.

Sumber: Utusan