Sukan Lasak Perlu Dilihat Dalam Perspektif Lebih Luas

sukanlasak
MUKHRIZ Mahathir menyampaikan hadiah kepada johan acara kayak berpasangan lelaki terbuka, Mohd.Hanizam Ramli (kiri) dan Mohd Amirudin Shuib (kanan) dalam program Sportec Challenge Peringkat Kebangsaan 2013 di Taman Tema Tasik Darul Aman Jitra, Kedah, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

KUBANG PASU 15 Disember - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir mengajak rakyat negeri ini melihat aktiviti sukan lasak dan rekreasi dalam perspektif yang lebih luas untuk pembangunan masyarakat dan negara.

Beliau berkata, ini kerana kegiatan tersebut bukan semata-mata sukan untuk kesihatan tetapi berkaitan dengan pembangunan jati diri, pendidikan, ekonomi dan sosial.

"Aktiviti-aktiviti sebegini bukan sahaja boleh mengisi masa lapang, malah dijadikan medium untuk anak muda menjauhi gejala-gejala sosial yang banyak mengancam kehidupan bermasyarakat pada hari ini," katanya ketika merasmikan program Sportec Challenge Peringkat Kebangsaan 2013 di Taman Tema Tasik Darul Aman Jitra, di sini semalam.

Mukhriz berkata, penglibatan belia dalam aktiviti lasak juga berupaya meningkatkan semangat juang dan daya saing, seterusnya mampu mempersiapkan diri dalam pelbagai bidang diceburi sesuai dengan taraf mereka sebagai tunjang pembangunan negeri dan negara amnya.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa peka dengan keperluan rakyat dalam aktiviti sukan lasak dan rekreasi kerana sedar ini mampu menjadi jambatan yang menghubungkan semua dalam masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun kecenderungan politik.

"Maka dengan itu, saya sebagai Menteri Besar akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kemudahan sukan dan rekreasi di negeri ini.

"Apa yang penting ialah kemudahan sukan rekreasi yang disediakan oleh perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat," katanya.

Justeru, beliau berkata, meskipun sibuk dengan urusan dan tugas harian, rakyat negeri ini sewajarnya tidak lupa untuk meluangkan masa dalam aktiviti yang sihat seperti bersukan, rekreasi, berpersatuan dan sebagainya.

Sumber: Utusan