Oleh JAMLIAH ABDULLAH

HAZRITA
Mohd. Hatta (kanan) memberi penerangan mengenai tempat-tempat menarik
dalam negeri Kedah kepada sebahagian jurugambar dari Singapura yang
turut mengambil bahagian dalam pertandingan Anugerah Fotografi
Antarabangsa Kedah di Alor Setar, semalam.
ALOR
SETAR 15 Disember - Anugerah Fotografi Antarabangsa Kedah (KIPA) yang
berlangsung sejak Julai lalu menarik minat lebih 2,900 penyertaan
jurugambar tempatan dan luar negara dalam usaha menyemarakkan industri
pelancongan negeri ini.
Menurut
Pengarah Penajaan KIPA, Hazrita Mohd. Hatta, pertandingan fotografi itu
turut menerima penyertaan kira-kira 40 jurugambar profesional dari
Singapura, Thailand, India dan Asia Barat.
"KIPA
bukan pertandingan biasa yang sekadar memaparkan lokasi menarik tetapi
landasan untuk menjadikan negeri ini destinasi utama pelancongan yang
harus dilawati terutama oleh pelancong luar.
"Ini
adalah peluang untuk semua peminat fotografi memaparkan keindahan Kedah
bagi tontonan dunia dan apa yang penting satu pameran fotografi turut
diadakan pada awal tahun depan bagi mempamerkan gambar yang meraih
anugerah dan daripada peserta terpilih," katanya pada sidang akhbar di
sini hari ini.
Tambah
beliau, sempena anugerah tersebut, KIPA menerima kunjungan daripada
sekumpulan jurugambar profesional dari Singapura yang mengambil
kesempatan bercuti di negeri ini selama dua hari tiga malam untuk
merakamkan gambar yang menarik.
Jelas
Hazrita, KIFA menawarkan hadiah bernilai lebih RM50,000 termasuk sebuah
motosikal, tiket penerbangan, wang tunai dan sebagainya.
"Pertandingan
ini terbahagi kepada lima kategori iaitu profesional (kompetitif),
profesional (bukan kompetitif), amatur/pelajar, lomo/kamera polaroid dan
telefon pintar," katanya.
Tambah
beliau, tarikh tutup penyertaan 31 Disember ini dan mereka yang
berminat untuk menyertainya boleh layari laman sesawang www.kipa.my.
Sumber: Utusan