Prestasi PMR Kedah Catat Peningkatan

pmr
Para pelajar cemerlang PMR SMK Sultanah Bahiyah bersorak gembira apabila mereka berjaya mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 19 Disember - Seramai 2,264 orang daripada 38,005 calon di Kedah berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran diambil dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Latt berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menyaksikan seramai 2,083 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

"Bagi pencapaian keseluruhan calon PMR negeri ini, prestasi didapati meningkat sebanyak 0.08 mata iaitu daripada 2.81 pada PMR 2012 berbanding 2.73 mata pada PMR 2013," katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Mansor berkata, peratus calon yang mendapat pencapaian tahap minima bagi semua mata pelajaran yang diduduki turut meningkat daripada 64.29 peratus pada PMR 2012 kepada 66.78 peratus pada PMR 2013.

"Terdapat 13 buah sekolah yang telah mencapai kelulusan 100 peratus manakala 29 buah sekolah mendapat kelulusan melebihi 90 peratus pada PMR tahun ini.

"Pencapaian calon secara keseluruhan di bandar dan luar bandar pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan prestasi yang baik dalam Gred Purata iaitu 0.02 mata di bandar dan 0.03 mata di luar bandar.

"Jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar pada tahun ini ialah -0.34 mata jika dibandingkan dengan 2012 iaitu sebanyak -0.40 mata," katanya.

Jelas Mansor, pada tahun ini peratus calon yang mendapat pencapaian cemerlang di bandar meningkat sebanyak 1.14 peratus berbanding tahun 2012 manakala calon cemerlang di luar bandar juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.66 peratus tahun ini.

Tambahnya, gred purata negeri (GPN) juga telah bertambah baik pada tahun ini iaitu 2.73 berbanding 2.81 tahun lalu.

Sumber: Utusan