Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

MUKHRIZ
Mahathir (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Maslan
sambil diperhatikan Mohd. Puat Mohd. Ali (kanan) dan Abdul Rahman
Ibrahim (kiri) di Dewan Wawasan Kubang Pasu, Kedah, kelmarin. -
UTUSAN/SAFRIZAL AZMI
KUBANG
PASU 20 Disember - Pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah
tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan terhadap satu-satu perkara
kerana setiap tindakan yang diambil melibatkan kepentingan rakyat.
Menteri
Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pada peringkat awal sejak BN
mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sudah semestinya
kepemimpinannya memerlukan sedikit masa untuk meneliti tindakan yang
dilakukan sebelum ini dan memahami dengan jelas di sebalik isu
berbangkit.
"Tanggungjawab
ini memakan masa. Dalam tempoh itu, kadang-kadang kelihatan seolah-olah
kerajaan ini tidak membuat keputusan atau tidak boleh hendak
memutuskan.
"Sedangkan
sebenarnya kerana kita tidak mahu terlalu tergopoh-gapah dalam membuat
keputusan begitu penting melibatkan rakyat Kedah, maka pendekatan yang
diambil ialah benar-benar menyemak dan memahami apa sebenarnya di
sebalik isu, kemudian dibincangkan sesama kita, mendapatkan pandangan
daripada pelbagai pihak, baru kita putuskan di pihak majlis mesyuarat
kerajaan negeri," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika berucap menutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi
Nasional (Pena) peringkat negeri yang turut dihadiri Timbalan Menteri
Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Dewan Wawasan Jitra, di sini semalam.
Yang
turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Puat Mohd.
Ali dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Datuk Abdul
Rahman Ibrahim.
Seminar
itu antara lain bertujuan memberi penerangan tentang tiga agenda besar
ekonomi negara iaitu Bajet 2014, pemerkasaan ekonomi bumiputera dan
kebaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan memberi fokus
kepada beberapa kumpulan sasar seperti kalangan ahli politik dan
pemimpin masyarakat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi
kerajaan, kelompok belia serta siswa.
Mukhriz berkata, pentadbirannya mahu mengelakkan daripada berlaku keadaan terpaksa berpatah balik dalam membuat keputusan.
Katanya, keadaan tersebut bukan hanya merugikan masa malah pentadbiran kerajaan negeri akan dilihat sebagai tidak cekap.
"Yakinlah kerajaan BN adalah berhemah, berwibawa, penuh berintegriti dan profesional dalam menjaga kepentingan rakyat," katanya.
Sumber: Utusan