Kerajaan Negeri Atasi Masalah Banjir Kilat

ROSLINDA HASHIMatasbanjir
ALOR SETAR 22 Disember - Kerajaan negeri komited untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa daerah khususnya Kota Setar dan Kubang Pasu, yang sering berdepan masalah itu setiap kali hujan lebat.

Sehubungan itu, beberapa strategi jangka pendek dan panjang dirangka sejak Jun lalu, bagi menangani masalah berkaitan.

Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata, antara langkah jangka pendek untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di sekitar bandaraya Alor Setar ialah dengan menambah kekerapan pembersihan parit-parit dalaman.

“Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula diberi tanggungjawab menangani masalah penyelenggaraan sistem perparitan itu.
"Kajian menyeluruh dilaksanakan bagi mempertingkat sistem saliran dalam bandaraya,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf sedang dijalankan dan berharap penduduk setempat bersabar kerana ia mengambil sedikit masa untuk disiapkan.

Badrol Hisham berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan dua Rancangan Tebatan Banjir (RTB) iaitu di Sungai Kedah/Anak Bukit dan di Sungai Pendang.

“Kedua-dua RTB ini akan mengurangkan tekanan air dari mengalir ke bandaraya Alor Setar, dengan membina lencongan-lencongan baru,” katanya.

Menurutnya, projek RTB Sungai Kedah dilaksana mengikut fasa, di mana fasa satu iaitu mendalamkan Sungai Kubang Rotan telah siap. Manakala fasa kedua, dalam peringkat panggilan tender.

“Bagi fasa ketiga, akan dilakukan dalam tahun 2014 apabila kerja-kerja pengambilan tanah selesai. Bagi RTB Sungai Pendang masih dalam kajian akhir. Kos awal bagi projek RTB ini mencecah RM390 juta,” katanya.

Badrol Hisham berkata, berdasarkan kajian terhadap sistem saliran bandaraya, didapati saliran yang dibina oleh pemaju adalah secara berasingan dan perkara itu akan diperkemaskan dengan mewujudkan satu sistem saliran yang lebih sistematik.

Antara kawasan dikenal pasti berdepan masalah banjir kilat ialah Kampung Batu Tiga (Tandop), Kampung Tok Pasai (Kuala Kedah), Persiaran Sultan Abdul Hamid, Kampung Tanjung Bendahara, Kampung Tanjung Sali, Taman Seri Permai di Jalan Langgar, dan Taman Rakyat Mergong.

Menurutnya, saliran bagi bandaraya Alor Setar akan berakhir di Sungai Kedah yang juga sungai utama untuk mengawal bekalan air bagi kawasan sawah sekitar Kota Setar.

“Sungai Kedah juga berkait dengan air pasang surut di mana pintu kawalan Ampang Jajar perlu  ditutup untuk mengelak kesan kepada tanaman padi termasuk banjir.

"Dua sistem sungai dari dua kawasan tadahan besar akan turut membebankan Sungai Kedah, iaitu Sungai Tanjung Pauh dan Sungai Pendang,” katanya.

Tambahnya, banjir kilat akan berlaku apabila terjadinya pertembungan antara air pasang dari laut, limpahan air dari Tanjung Pauh dan Sungai Pendang.

Sumber: Sinar