ALOR SETAR 11 Disember - Kerajaan Negeri Kedah akan menghantar hasil kajian akademik mengenai tapak warisan sejarah di sekitar Lembah Bujang, Merbok, kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selewat-lewatnya penghujung tahun depan dalam usaha menjadikannya tapak warisan dunia.
Menteri
Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kajian secara akademik
perlu dijalankan dan dikemukakan kepada UNESCO yang merupakan antara
kriteria yang ditetapkan sebelum mewartakan sesuatu kawasan sebagai
tapak warisan dunia.
"Setiap
tapak di kawasan tersebut perlu kajian yang disertakan dengan data
karbon dan data tersebut akan dihantar ke luar negara seperti Eropah
atau Amerika Syarikat (AS) untuk kita dapatkan bacaan secara tepat pada
kurun ke berapa tapak tersebut dibina.
"Sebab
itu kita sasarkan akhir tahun depan untuk sediakan semua hasil kajian
akademik ini sebelum diserahkan kepada UNESCO dan sudah tentu kita akan
pastikan tidak ada lagi insiden pemusnahan tapak seumpama itu berlaku,"
katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menurut
Mukhriz, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti dan meneliti
keluasan kawasan yang bakal dikemukakan kepada UNESCO kerana apabila
sesuatu kawasan itu telah diwartakan, sebarang bentuk pembangunan tidak
boleh dijalankan di kawasan tersebut.
"Kawasan
yang sedang diusahakan kajian sekarang ini cuma empat kilometer (km)
persegi dan kemudian kalau kita ambil kawasan di sekitar Lembah Bujang
termasuk Gunung Jerai keluasannya menjadi sehingga 250 km persegi.
"Tetapi
ada juga yang katakan bahawa tamadun yang wujud antara abad pertama
hingga abad ke-17 itu seluas 1,000 km, jadi semakin luas sampai ke
Cherok Tok Kun, Pulau Pinang, sebab itu kita kena kaji dahulu dengan
mendalam," katanya.
Tambah
beliau, monumen candi nombor 11 yang mengundang kontroversi setelah
dirobohkan sebuah syarikat pemaju perumahan di Ladang Sungai Batu,
Lembah Bujang, baru-baru ini juga akan dibina semula oleh pemaju
perumahan tersebut.
"Setelah
kita adakan perbincangan dengan pihak pemaju, mereka bersifat terbuka
mengenai perkara ini dan bersetuju untuk membina semua candi nombor 11,"
jelasnya.
Sementara
itu, dalam satu majlis berasingan, Mukhriz melepaskan konvoi bekalan
air bersih Syarikat Air Darul Aman (SADA) ke Maran, Pahang dan Dungun,
Terengganu bagi membantu mangsa banjir mendapatkan bekalan air bersih.
Mukhriz
memberitahu, selain enam buah lori bekalan air bersih oleh SADA, dua
buah lori treler berisi bantuan makanan berupa beras, makanan dan
keperluan lain yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir bernilai
RM110,000 juga dihantar ke Terengganu dan Pahang hari ini.
"Bantuan
ini menterjemah rasa prihatin kerajaan negeri Kedah kepada mangsa
banjir dan mungkin bantuan ini akan dipanjangkan kepada mangsa banjir di
Johor pula," katanya.
Sumber: Utusan