Tumpuan Khusus Bangunkan Sektor Pertanian

sektorpertanian
Muhyiddin Yassin menyampaikan sijil Agro Bazaar kepada usahawan FAMA, Abdul Rahman Yahaya (kanan) sambil diperhatikan oleh Ismail Sabri Yaakob dan Mukhriz Mahathir (kiri) di Pekan Sungai Limau Dalam dekat Yan, Kedah, semalam.

JERAI 3 November - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan akan beri tumpuan khusus membangunkan sektor pertanian negara yang menjadi semakin penting saban hari sekali gus meningkatkan pendapatan golongan petani, nelayan, peladang dan penternak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, peranan golongan petani semakin penting walaupun negara sudah menjadi sebuah negara maju dan pelbagai usaha meningkatkan taraf hidup mereka akan terus dilaksanakan.

"Kerajaan sejak dahulu sampai sekarang tidak pernah mengabaikan sektor pertanian, kalau abaikan silap besar kita. Kita lihat ada negara maju seperti Jepun namun masih terdapat sawah di negara mereka.

"Sektor pertanian yang semakin penting ini terus dimajukan dan kita laksanakan banyak dasar pertanian kerana nak tentukan hasil pendapatan petani mesti bertmbaha kerana keperluan makanan menjadi agenda utama negara.

"Usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu para petani tambah pendapatan mereka sudah pun lama kita lakukan kerana kita memahami bahawa nasib petani, peladang, penternak dan nelayan yang ada di negara kita ini terus dibela secara bersungguh-sungguh untuk membolehkan mereka mendapat pendapatan lebih baik bagi menyara hidup keluarga mereka pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pelancaran Pasar Tani Sungai Limau di Sungai Limau Dalam Yan dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Berucap lanjut Muhyiddin turut menyeru golongan tersebut menyokong pelbagai usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan tidak semata-mata tertumpu kepada hasil pertanian. 

"Kita tidak mahu petani misalannya hanya dapat pendapatan daripada hasil tanaman dan keluaran mereka sahaja mereka harus berusaha menambah pendapatan dan kerajaan memberi banyak peluang tambah pendapatan.

"Pertanian adalah perniagaan kerana pertanian itu bukan sahaja semata-mata kerja pertanian tetapi juga perniagaan yang boleh kita tambah nilai pendapatannya. Seperti pasar tani di Sungai Limau ini dengan adanya ia hasil pertanian boleh dipasarkan di sini maka tingkatlah pendapatan mereka," katanya.

Sumber: Utusan