Kedah Negeri Serius Timbang Projek Yang Memberi Manfaat Kepada Rakyat

projekrakyat
MOHD. SHARIZA ABDULLAH

JERAI 1 November - Kerajaan negeri melihat ada kewajaran dalam cadangan pihak swasta untuk membina sebuah pelabuhan di Pulau Bunting dekat sini yang dilihat mampu membawa manfaat kepada rakyat Kedah termasuk di Sungai Limau.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, cadangan pembinaan pelabuhan berkenaan yang akan digunakan untuk tujuan aktiviti eksport dan import itu dilihat dapat membantu kewujudan Taman Perindustrian Automatif Gurun secara langsung.

Beliau berkata, dengan terbinanya pelabuhan itu maka industri di situ tidak perlu terlalu bergantung kepada pelabuhan Pulau Pinang yang semakin hari semakin sesak.

"Keperluan sekarang ini mewajarkan sebuah pelabuhan baharu di Pulau Bunting. Ini secara langsung memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Yan termasuk di Sungai Limau.

"Pembinaannya masih di peringkat cadangan tetapi cadangan itu agak serius. Memang saya bertujuan berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan cadangan pembinaan pelabuhan baharu di situ," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program latihan kemahiran automotif di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN), di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, selaras dengan cadangan pembinaan pelaburan itu, kerajaan negeri juga mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah loji janakuasa arang batu di Pulau Bunting untuk membekalkan tenaga elektrik ke Thailand.

Katanya, Kerajaan Kedah tiada halangan secara prinsip tetapi masih tertakluk kepada jawapan susulan terhadap syarat-syarat yang dikemukakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan Taman Perindustrian Automotif Gurun meningkatkan keperluan untuk tenaga mahir berasaskan penggunaan mesin berteknologi tinggi.

"Di Jerai kita mempunyai potensi besar untuk dibangunkan khususnya melibatkan industri automotif yang kita pun sudah sedia maklum berjalan sejak wujudnya Taman Perindusrian Automatif Gurun.

"Kerajaan Persekutuan juga sudah meluluskan peruntukan untuk membina jalan yang akan menghubungkan Gurun termasuk Guar Chempedak sehingga ke Pulau Bunting," katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat Kedah khususnya golongan muda mengejar ilmu pengetahuan yang sepadan dengan permintaan dan pasaran yang akan kerajaan negeri wujudkan.

"Saya berharap mereka dari semasa ke semasa mengambil tahu industri apa yang kita akan beri tumpuan supaya jurusan yang diambil itu menepati permintaaan tersebut," katanya.

Sumber: Utusan