Tiada Masyarakat Disisih - Semua Kaum Dapat Manfaat Bajet 2014

tiadasisih
Tiada masyarakat disisih Muhyiddin diiringi Ahmad Sohaimi (tengah), disambut penduduk kampung ketika hadir majlis sarapan di jeti nelayan Kampung Kuala Dulang Kecil, Sungai Limau, Yan, semalam.- Foto Amran Hamid

Yan 31 Oktober - Kerajaan tidak pernah mengambil sikap menyisih mana-mana kumpulan masyarakat, termasuk orang Cina walaupun Barisan Nasional (BN) ditolak kaum itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini terbukti melalui Bajet 2014 dibentangkan baru-baru ini, yang menyaksikan kaum Cina turut menerima manfaat terutama melalui bajet pendidikan, sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan BN tidak menyokong kaum Cina.

Saya percaya orang Cina di negara ini tahu menilai tanggungjawab kerajaan dalam membantu semua kaum” Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri “Baru-baru ini Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) bentang Bajet 2014 dan beliau ada menyebut soal pendidikan dan selaku Menteri Pendidikan, saya mengesahkan tahun ini seperti tahun lalu, peruntukan khas RM50 juta disediakan sebagai tambahan khusus untuk sekolah Cina.

Rakyat diutama

“Selain itu, kita juga menjaga semua guru di sekolah Cina dengan RM1.8 juta kita belanjakan setiap tahun untuk membayar gaji mereka. Kalau pembangkang kata kerajaan tidak bantu sekolah Cina, itu tidak betul dan peruntukan ini bukan hanya tahun ini, malah sudah puluhan tahun kita bagi.

“Bayangkan kalau kerajaan BN tidak bertimbang rasa, pasti kita tidak mahu bagi. Apa yang pasti kita mahu sekolah Cina yang ada terus kekal dan tidak boleh ditutup,” katanya pada majlis perjumpaan bersama masyarakat Cina Sungai Limau di Bilik Gerakan Jentera BN di Batas Lintang, di sini.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan RM1.8 juta untuk tiga sekolah Cina di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, membabitkan RM1 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Min, SJKC Yok Meng (RM750,000) dan SJKC Pek Wah (RM50,000). Turut diluluskan dana permulaan RM200,000 untuk Tabung Pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Limau.

Sementara itu, Muhyiddin mengakui melihat peningkatan dalam sokongan kaum Cina terhadap BN berbanding ketika PRU-13 lalu, terutama di DUN Sungai Limau yang menyaksikan kesediaan masyarakat Cina yang lebih terbuka untuk menerima agenda kerajaan.

“Saya percaya orang Cina di negara ini bersikap ‘pragmatik’ kerana mereka tahu apa yang penting, termasuk tahu menilai tanggungjawab kerajaan dalam membantu semua kaum bukan saja meliputi Melayu, Cina dan India, malah juga Iban, Kadazan dan banyak lagi kaum di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sumber: Berita Harian