Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
Seorang
peniaga (kanan) mengisi borang yang diberikan oleh pegawai penguat
kuasa dalam Ops Tanda Harga yang dijalankan di tiga restoran 24 jam di
Alor Setar, Kedah, kelmarin.
ALOR
SETAR 9 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Kedah semalam menjalankan operasi Ops Tanda
Harga di tiga restoran yang beroperasi 24 jam.
Pegawai
Penguatkuasa KPDNKK negeri, Kelyn Bolhassan berkata, operasi tersebut
dijalankan bertujuan memantau sekiranya terdapat premis makanan yang
menaikkan harga berikutan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel
sebanyak 20 sen seliter.
Katanya,
operasi kedua yang dijalankan selepas pengumuman kenaikan harga minyak
itu mendapati rata-rata pemilik restoran masih mengekalkan harga sama
pada minuman serta makanan.
"Sebelum
kenaikan harga juga kita membuat tinjauan dan operasi yang dijalankan
ini akan dilakukan secara berkala untuk memastikan tiada kenaikan harga
barang.
"Kita
juga belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung
kenaikan harga makanan dan minuman di negeri ini," katanya kepada
pemberita selepas melakukan operasi Ops Tanda Harga di sini hari ini.
Operasi lebih satu jam itu bermula pada pukul 10 pagi dengan melibatkan 12 penguat kuasa.
Kelyn berkata, selain restoran 24 jam, operasi yang sama turut dijalankan di restoran lain dan premis perusahaan makanan.
Beliau
berkata, sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga barang mereka
boleh disiasat di bawah Perintah 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan
Harga Oleh Penjual Runcit) 1993. Ujarnya, jika disabitkan kesalahan
boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000.
"Saya
nasihatkan kepada peniaga agar tidak menaikkan harga manakala pengguna
pula diminta memberikan kerjasama dengan membuat aduan sekiranya mereka
rasa terdapat kenaikan harga barang," katanya.
Orang
ramai di negeri ini yang ingin membuat aduan berhubung kenaikan harga
barang boleh menghubungi KPDNKK Kedah di talian 04-7001800 pada waktu
pejabat.
Sumber: Utusan