KHTP Catat Pelaburan Tambahan RM7.7b

sabrina-mdnoor
 KULIM 19 September - Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini, terus mendapat sambutan dalam kalangan pelabur domestik dan asing selepas mencatatkan pelaburan tambahan dengan nilai terkumpul lebih RM7.7 bilion baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, antara pemain utama yang membuat pelaburan tambahan tersebut adalah First Solar, Infineon Technology dan Fuji Electric.

"Kebanyakan pelabur terutamanya asing terus yakin dengan keupayaan Kerajaan Persekutuan dan negeri menyediakan prasarana terbaik di sini. Sejak memulakan operasi pada tahun 1996, tiada syarikat yang menutup kilang mereka di KHTP ini.

"Walaupun menghadapi turun naik dari segi kemasukan pelaburan, namun kebanyakan pelabur kembali yakin menanam modal lebih-lebih lagi selepas Kedah dimenangi semula Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah fasa kedua dan ketiga pembinaan bangunan tambahan bernilai RM52 milik syarikat pembuat peralatan sokongan hospital, LMA International N.V (LMA) dari Belanda, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pemangku Presiden Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC), Annuar Mohd. Sadar dan Pengarah (Pengilangan) LMA, Andrej Baranek.

Norsbarina berkata, kerajaan negeri yakin jumlah pelaburan di KHTP dapat ditingkatkan dalam tempoh terdekat ekoran sokongan Kerajaan Pusat dan beberapa agensi seperti Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Dalam perkembangan lain, beliau memuji langkah LMA yang menggaji kesemua pekerja tempatan dalam kilang tersebut.

Katanya, tindakan tersebut juga boleh membantu kerajaan mengatasi masalah pengangguran di samping meningkatkan pendapatan serta taraf hidup dalam kalangan penduduk tempatan.

"Pembangunan fizikal dan penanaman modal asing di kawasan Kulim sudah tentu dapat membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat. Dengan adanya peluang pekerjaan, para penduduk tidak perlu berpindah ke kawasan lain dan ini menjadikan kawasan ini terus berdaya maju," katanya.

Sumber: Utusan