RM8.3 Juta Bantu Golongan Miskin Di Kedah

miskin
ALOR SETAR 13 Ogos - Sebanyak RM8.3 juta diperuntukkan oleh kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak awal tahun ini untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, bantuan diberikan kepada penerima yang layak di seluruh negeri.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat dan berusaha membela nasib golongan itu.

"Ini merupakan bantuan bulanan yang diberikan melalui JKM kepada penerima bagi membantu meringankan beban rakyat," katanya di sini baru-baru ini.
Beliau juga menggesa agar pemimpin setempat bergerak aktif dalam mengesan penduduk di kawasan mereka yang memerlukan bantuan agar tindakan sewajar dapat diambil.

"Kita akan membantu mereka yang layak jadi semua anggota masyarakat perlu memainkan peranan termasuk pemimpin di kawasan masing-masing untuk mengesan orang susah seperti pesakit terlantar atau ibu tunggal yang miskin," katanya.

Beliau pada masa yang sama menyeru agar syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik ini sebagai salah satu daripada khidmat sosial mereka.

Sumber: Utusan