Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
utusankedah@utusan.com.my
Mukhriz
Tun Mahathir menyampaikan insentif projek estet padi kepada Saidin Omar
(kanan) sambil diperhatikan Othman Aziz (dua dari kiri) di PPK 3-III
MADA Kobah, Pendang, Kedah, semalam.
PENDANG
5 Ogos - Sebanyak 5,929 peserta estet padi berpusat Lembaga Kemajuan
Pertanian Muda (MADA) menerima 'duit raya' iaitu insentif bernilai
RM19.8 juta bagi 9,914 hektar tanaman padi yang diusahakan mereka.
Menteri
Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, insentif itu adalah bagi musim
kedua tahun ini dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM30 juta
insentif kepada seluruh kawasan MADA.
Katanya,
pesawah yang menyertai projek estet padi berpusat di bawah program
Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Projek Permulaan (EPP) 10 itu diberi
insentif sebanyak RM2,000 setiap hektar sebagai galakan dan jaminan
kepada pendapatan mereka.
"Sebahagian
daripada pemberian insentif tersebut atau RM19.8 juta diserahkan kepada
27 Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang akan mengagihkannya
kepada peserta terlibat di kawasan masing-masing hari ini manakala
bakinya akan diagihkan bulan depan.
"Insentif
ini bertepatan pada masanya bagi keperluan perbelanjaan pesawah
menjelang sambutan Aidilfitri selain mereka juga memerlukan wang untuk
memulakan musim tanaman padi," katanya dalam majlis penyampaian insentif
berkenaan di PPK3-III MADA Kobah, di sini hari ini.
Menurut
Mukhriz, pelaksanaan projek estet padi NKEA dapat membuka peluang
pekerjaan kepada pesawah, anak-anak mereka dan usahawan tempatan.
Yang turut hadir Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz dan Pengerusi PPK H-II Kepala Batas, Saidin Omar.
Beliau
berkata, peserta juga akan mendapat dividen hasil keuntungan projek
estet berkenaan manakala PPK pula memperoleh pendapatan daripada komisen
pengurusan, jualan input dan perkhidmatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, mentaliti golongan muda perlu ditukar supaya berminat menceburi bidang pertanian.
Katanya,
golongan muda sering berpendapat bidang pertanian sukar kerana terpaksa
bekerja di tengah panas dan tidak mendapat pendapatan lumayan
berbanding pekerjaan lain.
Dalam
masa sama, beliau menasihatkan pesawah mengikuti turutan garis panduan
MADA pada setiap musim penanaman padi bagi meningkatkan hasil
pengeluaran.
Sementara
itu, pesawah, Hassan Sauri Abdul, 54, berkata, dia bersyukur dengan
pengagihan insentif sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bukan
sahaja dapat membantunya menyediakan kelengkapan tetapi membolehkannya
bersedia memulakan musim penanam baharu.
"Saya
bersyukur kerana menerima insentif secara teratur sejak menyertai
projek estet padi tiga musim lalu," katanya yang memperoleh insentif
sebanyak RM6,000 daripada kira-kira tiga hektar sawah diusahakannya.
Sumber: Utusan