Mukhriz: Aktiviti pemugaran tanah dihentikan sementara waktu

3 Jun 2013


LANGKAWI - Kerajaan Kedah secara rasmi telah mengeluarkan arahan pemberhentian sementara dua projek melibatkan aktiviti pemugaran tanah yang dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pas sebelum ini, masing-masing di Pedu dan Gunung Inas, Baling.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, perintah itu dikeluarkan terhadap projek agro-pelancongan dekat empangan Pedu selain inisiatif ladang getah Ladang Rakyat di Gunung Inas.

Berikut adalah perkembangan terbaru selepas Mukhriz mengumumkan kerajaan Kedah akan menggantung semua aktiviti pembalakan di negeri ini, sementara menunggu kajian kesannya terhadap alam sekitar dan mata pencarian rakyat, bulan lalu.

Katanya, tindakan itu susulan aduan daripada penduduk kampung bahawa aktiviti pembalakan di kawasan mereka itu menjejaskan bekalan dan kualiti air.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman antara Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Pekan Artisan Sdn Bhd yang akan menyaksikan pelaksanaan dua projek pembangunan eksklusif dan inovatif di Langkawi.

Memorandum itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli dan Ketua Pegawai Operasi Pekan Artisan, Saifful Azhar Sabaruddin.

Pekan Artisan adalah pemaju resort pelancongan dan daya penarik berimpak tinggi.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, tumpuan utama kerajaan Kedah akan terarah kepada menarik kedatangan lebih tiga juta pelancong setiap tahun ke Langkawi, dengan unjuran pendapatan kasar tahunan berkaitan pelancongan sebanyak RM3.8 bilion menjelang 2015.

Mukhriz berkata, tahun lepas, perolehan daripada kira-kira tiga juta pelancong ke Langkawi yang direkodkan berjumlah sekitar RM2.6 bilion.

“Kita perlu menggandakan usaha untuk merealisasikan matlamat kita. Bukanlah mudah untuk mencapai sasaran bagi Langkawi disebabkan saingan sengit dalam lingkungan wilayah ini daripada Bali dan Phuket. Untuk berada selangkah dua di hadapan mereka, kita mesti bertindak lain daripada biasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian