Kuliah agama di rumah MB setiap Sabtu diteruskan


Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad memberi kuliah sempena majlis mmperingati peristiwa Isra dan Mi'raj di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR SETAR 8 Jun- Masyarakat Islam khususnya di sekitar bandar raya ini dijemput beramai-ramai menghadiri kuliah agama mingguan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah pada setiap Sabtu yang bermula hari ini.

Majlis ilmu anjuran Pejabat Menteri Besar Kedah dengan kerjasama Jabatan Mufti negeri itu bermula pukul 9 pagi dan bakal menampilkan penceramah agama berkelayakan dan berpengetahuan dalam ilmu Islam.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, meskipun pentadbiran kerajaan negeri beralih tangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu namun kuliah mingguan tersebut diteruskan sebagai antara usaha menambah ilmu agama Islam dalam kalangan penduduk negeri ini.

"Walaupun berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan negeri tetapi majlis ilmu seperti ini tidak boleh berhenti kerana ia diadakan bukan atas dasar politik tetapi atas dasar ilmu.

"Pada mulanya kita merancang untuk dimulakan pada 1 Jun lalu tetapi dewan ini digunakan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Ia ditunda kepada hari ini dan Insya-Allah akan berterusan pada setiap minggu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pada majlis ilmu itu hari ini.

Menurut Muhamad Baderudin, kuliah agama tersebut mungkin diadakan dalam dua slot dengan kebanyakan penceramah terdiri daripada ahli jawatankuasa fatwa negeri selain jemputan penceramah luar.

Sumber: Utusan