Hari Kemerdekaan Ke-57 Peringkat Negeri Kedah


2merdeka
ALOR SETAR 2 September - Lebih 5,000 rakyat negeri ini menyaksikan istiadat perarakan dan perbarisan membabitkan 100 kontinjen sempena Hari Kemerdekaan Ke-57 Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Dataran Tunku, di sini.

Lebih 3,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai jabatan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan sektor swasta mengambil bahagian dalam istiadat perarakan dan perbarisan berkenaan.

Majlis sambutan bermula pada jam 8.30 pagi sebaik sahaja Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah tiba di Pentas DiRaja di Dataran Tunku, di sini.

Tunku Temenggong Kedah kemudian berkenan menerima tabik hormat daripada peserta perbarisan yang melintasi pentas utama di Jalan Tunku Ibrahim berhadapan dengan Pekan Rabu dan Dataran Tunku, di sini.

Perarakan bermula dengan Kontinjen Angkatan Tentera Malaysia sebelum diikuti peserta lain termasuk Polis DiRaja Malaysia bersama kenderaan berwarna-warni dihiasi dengan bendera Malaysia. Selain itu, kontinjen daripada Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Alor Setar, Syarikat Air Darul Aman dan beberapa agensi Kerajaan lain turut menyertai perarakan dengan membawa lori serta van hiasan mereka.

Perarakan yang berlangsung selama satu jam itu dimenangi oleh Kontinjen Pos Malaysia Berhad yang menyertai perarakan bersama pakaian korporat syarikat. Wakil daripada Pos Malaysia Berhad, Mohd Sharul Haikal Salleh berkata, kontinjen mereka disertai 33 kakitangan yang terdiri daripada posmen mempersembahkan kawad pandang kanan kepada tetamu kenamaan.

Beliau berkata, pasukan itu berlatih acara kawad berkenaan dalam tempoh yang singkat selepas diberitahu mengenai perarakan kemerdekaan baru-baru ini. Mereka melakukan yang terbaik dan masing-masing bersemangat patriotik sepanjang acara kawad dan ia mungkin menjadi faktor kemenangan pihaknya.

Sumber : UMTK