YIKED Perkenal Skim Perlindungan Mangsa Bencana

2yiked
ALOR SETAR 2 September – Yayasan Islam Negeri Kedah memperkenalkan skim perlindungan takaful rumah rakyat miskin serendah RM20.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, skim tersebut diwujudkan bagi membantu rumah-rumah yang dilanda musibah seperti banjir, ribut dan kebakaran.

“Skim ini memperuntukkan perlindungan insurans sehingga RM5,000 bagi setiap rumah yang berlaku musibah. Saya yakin, pelaksanaan skim ini adalah bertepatan dengan situasi kekerapan hujan yang berlaku di Kedah pada ketika ini,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, bayaran sebanyak RM20 itu akan disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada setiap rumah yang tersenarai sebagai rakyat termiskin.

“Pada peringkat awal ini, kita menjangkakan sebanyak 3,000 rumah di setiap daerah atau 42,000 rumah di seluruh Kedah layak menerima skim perlindungan tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM840,000. Mereka yang layak menerima bantuan itu tidak bermaksud akan menerima wang tunai, tetapi rumah mereka akan dibaiki dengan nilai sehingga RM5,000,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pemberian wang berbentuk tunai boleh dipertimbangkan bergantung kepada amaun dan kerosakan kecil, misalnya melibatkan kos sekitar RM500.

“Kita akan maklumkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya mengenal pasti orang-orang miskin yang layak menerima skim berkenaan. Kita perlu beri tumpuan kepada rumah kayu, separa kayu, rumah di tepi sungai dan tepi pantai kerana kedudukan mereka di kawasan muka bumi yang mudah menerima bencana,” katanya.

Sumber : UMTK