80,000 Disasar Sertai 'Jom Membaca Bersama 10 Minit'

22librari
ALOR SETAR 22 April - Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah menyasarkan kira-kira 80,000 orang menyertai program 'Jom Membaca Bersama 10 Minit' yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini.

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Aminuddin Omar berkata, sasaran tersebut melibatkan semua jabatan di Kedah termasuk sekolah-sekolah terpilih yang meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca.

Menurutnya, program pertama kali diadakan itu adalah bersempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia.

"Mereka yang menyertai program ini dengan membaca apa jua bahan bacaan sama ada di pejabat ataupun di restoran boleh menghantar gambar sebagai bukti penyertaan kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.

"Program ini bertujuan menggerakkan semangat membaca dalam kala­ngan masyarakat khususnya di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Membaca Bersama 10 Minit, di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian, Kebudayaan, Warisan dan Badan Bukan Kerajaan negeri berkata, program tersebut diinspirasikan daripada sambutan Earth Hour yang meminta penduduk bumi memadamkan lampu selama sejam.

Menurutnya, walaupun program tersebut diadakan pada 22 April sahaja namun masyarakat diharap dapat menjadikan buku sebagai wadah perjuangan dan meneruskan budaya membaca.

"Saya memberi sokongan penuh kepada pihak perpustakaan agar program ini dapat diteruskan pada tahun akan datang untuk memantapkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

"Kita juga berharap langkah ini dapat memartabatkkan Perpustakaan Awam Negeri di seluruh negara sebagai tempat menambahkan ilmu," katanya.

Sumber:Utusan